LARUT: Seramai 282,581 pendatang asing tanpa izin (PATI)
sudah berdaftar untuk pulang secara sukarela sehingga 23 Jun lalu.
Daripada jumlah itu, 243,279 individu telah pulang ke negara
asal masing-masing.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan
bahawa tarikh tamat tempoh pendaftaran 30 Jun depan, tidak akan dilanjutkan.
"Kita akan mengambil tindakan yang tegas pada sesiapa
saja yang tidak mahu menerima arahan yang telahpun kita keluarkan tempoh hari,
dan masih ambil sambil lewa.
"(Mereka ialah) warga asing yang tinggal di sini tanpa
dokumen yang sah, tanpa pengesahan yang dibuat oleh Imigresen. Begitu juga
dengan majikan yang mengambil mereka... kita akan bawa mereka ke pihak
mahkamah," tegas beliau.
Hamzah ditemui ketika Majlis Kenduri Kampung di Dewan Orang
Ramai Anak Kurau, Batu Kurau, pada Sabtu.
Menurutnya, pendatang asing tanpa izin perlu mengambil
peluang mendaftar dengan program itu sebelum hujung bulan ini.
Program itu diperkenalkan tahun lalu bagi memberi peluang
kepada PATI untuk pulang atau bekerja di negara ini
Katanya, seramai 418,524 PATI telah mendaftar untuk bekerja
di negara ini di di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang telah ditutup
pendaftaran pada Disember tahun lalu.
Menurutnya, bilangan itu mampu untuk membantu majikan yang
memerlukan pekerja ketika kerajaan masih belum membuka kemasukan pekerja asing
hujung tahun lepas.
Di samping itu, katanya, sebanyak RM1 bilion bayaran levi
telah berjaya dikutip sepanjang lima bulan pertama tahun ini.
Sumber: astroawani