KUALA
LUMPUR : Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan bahawa
prinsip yang tertakluk dibawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dipegang
dan dilaksanakan dalam meningkatkan hubungan antara Semenanjung serta negeri
Sabah dan Sarawak.
Ini
kerana jelasnya, perjanjian yang ditandatangani oleh Bapa Kemerdekaan, Tunku
Abdul Rahman bukan berasaskan keputusan yang dibuat semalaman, tetapi telah
melalui banyak rundingan dan dipelajari dengan teliti.
"MA63
ialah perjanjian antarabangsa yang didaftarkan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB) pada 21 September 1970 di bawah Perjanjian bernombor 10760.
"Untuk
menukar perjanjian itu, ia memerlukan persetujuan Sabah dan Sarawak serta
pindaan Perlembagaan Persekutuan perlu diluluskan dengan sokongan dua pertiga
majoriti di Parlimen.
“Tambahan
pula, perubahan dalam MA63 hanya boleh dibuat dengan perundingan dan
persetujuan pihak-pihak yang menandatanganinya pada 9 Julai 1963,” katanya
dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Justeru,
beliau menolak syor pembentukan Perjanjian MA63 yang baharu seperti yang
dicadangkan oleh Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad
Hasan semasa Konvensyen Barisan Nasional (BN) Sabah pada 2 Julai lalu.
“Hanya
laksanakan perjanjian itu sepenuhnya. Itu yang dimahukan oleh rakyat Sabah dan
Sarawak selama ini.
"Mereka
tidak mahu perjanjian baharu. Saya amat kecewa dengan rakan-rakan pemimpin
Sabah yang sanggup berkompromi berkenaan hak asasi rakyat Sabah untuk
melindungi kepentingan politik mereka.
"Daripada
berkompromi, mereka sepatutnya menuntut (dasar) MA63 dihormati dan dilaksanakan
sepenuhnya,” kata beliau.
Tambah
beliau, kegagalan untuk menunaikan janji itu akan menghakis kepercayaan,
menghancurkan keyakinan, integriti dan akan memecah belahkan hubungan antara
Semenanjung dan negeri Sabah dan Sarawak.
Sumber:
astroawani