PUTRAJAYA: Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga
Malaysia myezycover.com yang dilancarkan hari ini akan memanfaatkan 1.6 juta
penjawat awam termasuk bertaraf kontrak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata
penjawat awam tetap dan bertaraf kontrak layak memohon skim pembiayaan itu
dengan syarat, nisbah hutang tidak melebihi 60 peratus daripada jumlah
pendapatan bulanan.
Beliau berkata, kerajaan juga bersetuju program itu turut
diperluaskan kepada kakitangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat
Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan sektor swasta dalam masa terdekat.
Katanya, program seumpama itu yang pertama kali dilaksanakan
untuk penjawat awam secara digital dalam talian akan bercirikan seperti
berikut;
-
Kemudahan pembaharuan polisi insurans kenderaan
dan cukai jalan melalui pembiayaan tanpa faedah atau sifar peratus.
-
Penjawat awam boleh memperbaharui insurans
kenderaan dan cukai jalan tanpa apa-apa bayaran pendahuluan.
-
Bayaran balik pembiayaan secara ansuran sehingga
10 bulan, melalui Skim Potongan Gaji ANGKASA (SPGA).
-
Penjawat awam boleh memperbaharui insurans
kenderaan di hujung jari dengan 'Mudah, Jimat dan Pantas'. Nota Perlindungan
Insurans diperoleh hanya dalam tempoh lima minit.
-
Pembiayaan ini berlandaskan konsep patuh syariah
Qardhul Hasan, yang merupakan pinjaman tidak membabitkan faedah atau unsur
riba.
Ismail Sabri berkata, dengan pelbagai manfaat yang
ditawarkan, penjawat awam boleh mengambil perlindungan tambahan yang lebih
komprehensif untuk kenderaan masing-masing.
"Ini bagi memastikan kenderaan dan penumpang berupaya
dilindungi daripada kemalangan, serta bencana alam seperti banjir, tanah runtuh
dan sebagainya," katanya berucap pada majlis pelancaran program itu di
sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M
Saravanan dan Pengerusi A Tech Insure Sdn Bhd, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Program terbabit adalah hasil rangka kerjasama strategik
pihak awam dan swasta diusahakan Kementerian Sumber Manusia bersama Pertubuhan
Keselamatan Sosial (PERKESO), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd
(ANGKASA ) dan A Tech Insure Sdn Bhd.
Tambah Perdana Menteri, program itu jelas membuktikan
keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan penjawat awam, selari dengan aspirasi
Keluarga Malaysia yang menitik beratkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan
kesyukuran.
Katanya, inisiatif ini tidak berorentasikan komersial
semata-mata, paling penting, ia dapat membantu merealisasi konsep Keluarga
Malaysia berasaskan indeks kebahagiaan, yang menjadi tanda aras komitmen dan
kesungguhan kerajaan.
"Pada masa yang sama, usaha ini dapat membantu pegawai
kerajaan mengurangkan tekanan kewangan, setiap kali mereka memperbaharui
insurans kenderaan dan cukai jalan," katanya yang menambah kerajaan amat
memahami kesukaran yang dihadapi oleh Keluarga Malaysia termasuk penjawat awam
akibat pandemik COVID-19.
Selain itu Ismail Sabri berkata, kerajaan sentiasa menyambut
baik pelaksanaan projek secara Kerjasama Sektor Awam Swasta dalam semua bidang,
terutama yang memberikan impak positif serta manfaat besar kepada negara dan
Keluarga Malaysia.
"Jalinan kerjasama ini mampu meningkatkan sistem
penyampaian kerajaan, mencambahkan idea yang lebih kreatif, mewujudkan peluang
pekerjaan, pertukaran kemahiran dan limpahan ekonomi.
"Kerjasama strategik ini juga, merupakan contoh terbaik
apabila dapat membangunkan satu penyelesaian kewangan digital bagi urusan
memperbaharui cukai jalan dan insurans kenderaan penjawat awam," katanya.
Sumber: bharian