Kuala
Lumpur: Rakyat Malaysia berpeluang mendapat e-baucar bernilai RM50 hingga RM100
menerusi tempahan bilik penginapan hotel secara dalam talian menerusi inisiatif
Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 (PRE2.0) bermula 15 Julai sehingga 31 Disember
ini.
Menteri
Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pelancaran
inisiatif dengan kerjasama Tourism Malaysia itu bertujuan menarik minat orang
ramai khususnya Keluarga Malaysia untuk membuat tempahan bilik penginapan hotel
pada harga istimewa sekali gus berpotensi merancakkan aktiviti pelancongan
domestik.
Beliau
berkata, antara pusat penginapan yang terlibat dalam inisiatif itu ialah hotel
di bawah Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Pemilik Hotel Malaysia
(Maho), Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBha) dan Rangkaian Hotel
Seri Malaysia (RHSM).
"Lebih
200 hotel di bawah MAH dan Maho akan menawarkan e-baucar bernilai RM100 dengan
nilai pembelian minimum RM150 untuk 19,900 pembeli terawal manakala sebanyak
229 hotel di bawah MyBha menawarkan e-baucar bernilai RM50 dengan nilai
pembelian minimum RM60 untuk 7,960 pembeli.
"Selain
itu, RHSM menawarkan rebat bernilai RM50 dengan nilai pembelian minimum RM170
(bilik standard) atau RM210 (bilik keluarga) untuk 5,970 pembeli terawal di 19
hotel mereka. Tempahan di RHSM boleh dibuat secara jumpa terus, e-mel atau
telefon," katanya pada majlis pelancaran PRE2.0 bagi kluster penginapan di
sini malam ini.
Nancy
berkata, kesemua e-baucar boleh diperoleh semasa membuat tempahan bilik hotel
menerusi aplikasi Shopee dengan had penebusan sebanyak tiga kali bagi setiap
pemilik MyKad bermula 15 Julai hingga 31 Dis.
Beliau
juga berkata, kementeriannya melalui Tourism Malaysia telah melancarkan program
PRE2.0 pada 17 Mei lepas dengan pemberian tawaran diskaun dan rebat di bawah
sektor persatuan agensi pelancongan, pengangkutan darat, taman tema, selam
skuba, inap desa serta pengangkutan udara.
Menyentuh
isu penetapan mata wang Amerika Syarikat bagi tempahan penginapan hotel pula,
Nancy berkata, perkara itu diserahkan kepada pemain industri sekali gus
berharap perbincangan menyeluruh dapat dilakukan oleh pihak terbabit.
"Kita
harapkan mereka berbincang sesama sendiri dari segi implikasinya kerana kita
lihat penetapan kadar tempahan menggunakan mata wang itu, persepsi orang
mengenai standard industri kita juga berbeza. Ia juga berpotensi menarik minat
pekerja tempatan.
"Kita
serahkan keputusan itu kepada mereka namun pertimbangkan dahulu semua keputusan
kerana kita bimbang jika ada pihak mengatakan kita tidak yakin dengan mata wang
negara sendiri," katanya.
Sumber:
hmetro