KOTA BHARU: Polis pengiring yang mengiringi dua trak
tunda dan sebuah pikap memotong di garisan berkembar sudah mengikut peraturan
ditetapkan.
Sebelum ini, tular di media sosial kejadian kenderaan
pengiring memotong di garisan berkembar dalam kejadian di Jalan Gua Musang-Kota
Bharu.
Video berdurasi 11 saat itu memaparkan sebuah kenderaan
polis pengiring memotong di garisan berkembar sehingga hampir mengakibatkan
nahas.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun
berkata, kenderaan berkenaan juga sudah memberi amaran dan peringatan dengan
membunyikan siren dan lampu kecemasan kepada pengguna jalan raya.
Menurut beliau, pengguna jalan raya perlu memberi
kerjasama dengan memberi laluan atau berhenti bagi mengelakkan keadaan tidak
diingini.
"Sebenarnya berlaku kekeliruan dalam kalangan
orang ramai.
"Kenderaan pengiring ada peraturan dan mereka
tidak boleh berhenti sewenang-wenangnya kerana sudah memberi siren dan amaran
kepada pengguna jalan raya,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis
Kontinjen Kelantan, di sini, pada Rabu.
Tambah beliau, pergerakan kereta pengiring terbabit
mengikut Seksyen 21 Akta Polis 1967 iaitu tugas di jalan awam.
Sumber: astroawani, Sinar Harian