Pindaan Cuti Bersalin Berbayar Terpakai Kepada Semua Pekerja Wanita, MOF Diberitahu
PETALING JAYA: Pekerja wanita yang bersalin tanpa
mengira status perjawatan tidak wajar didiskriminasi dan hak mereka dijamin di
bawah Akta Kerja 1955, tegas seorang ADUN.
ADUN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli menyifatkan
keputusan Kementerian Kewangan menangguhkan pemberian kemudahan cuti bersalin
berelaun kepada guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) sebagai langkah ke
belakang.
Katanya, Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2021 yang
diluluskan di Dewan Rakyat pada Mac 2022, antara pembaharuan penting dimasukkan
adalah dengan memanjangkan cuti bersalin berbayar daripada 60 hari kepada 98
hari.
“Pindaan peruntukan cuti bersalin berbayar ini terpakai
kepada semua pekerja wanita yang bersalin dan hak mereka dijamin di bawah Akta
Kerja 1955.
“Tempoh bersalin adalah amat kritikal kerana ia bukan
sahaja fasa pemulihan biologi dan reproduktif malah terdapat keperluan asas
yang diperlukan dalam menampung perbelanjaan harian,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
mengumumkan penangguhan kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh kepada guru
Kafa seperti yang diumumkan Januari lalu.
Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Jakim, Hakimah Mohd
Yusoff yang menjelaskan keputusan dibuat sebagai mematuhi saranan dan pandangan
Kementerian Kewangan.
Justeru, Juwairiya yang juga Timbalan Ketua Wanita PKR
menggesa Kementerian Kewangan segera meluluskan kemudahan cuti bersalin
berelaun kepada semua guru Kafa yang layak.
“Ia tidak wajar ditangguhkan,” katanya.
Sumber: malaysiatoday.com
0 Response to "Pindaan Cuti Bersalin Berbayar Terpakai Kepada Semua Pekerja Wanita, MOF Diberitahu"