Kuala
Lumpur: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memperkenalkan penambahbaikan
menerusi pelaksanaan Program Saringan Kesihatan Perkeso 2.0 atau HSP 2.0 yang
kembali dijalankan bermula 1 Jun lalu.
Antara
penambahbaikan program pemeriksaan kesihatan percuma buat pencarum itu adalah
pembaharuan parameter saringan kesihatan dengan memperkenalkan saringan
kesihatan mental dan penilaian risiko kesihatan keluarga bagi memastikan ia
kekal kondusif dan relevan buat golongan pekerja.
Ketua
Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, HSP 2.0 kini
turut dibuka kepada pencarum yang berumur antara 30 hingga 39 tahun dan
mempunyai risiko penyakit tidak berjangkit atau Non-Communicable Diseases
(NCD).
Menurutnya,
kriteria baharu diperkenal itu bertujuan untuk memperluas akses saringan
kesihatannya kepada pekerja daripada pelbagai peringkat umur, sekali gus
membolehkan lebih ramai pencarum menikmati insentif berkenaan.
"Pelaksanaan
semula HSP menerusi versi 2.0 juga adalah sejajar dengan Inisiatif Saringan
Kesihatan Nasional (NHSI) yang akan dilancarkan oleh kerajaan menerusi
Kementerian Kesihatan (KKM) di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) pada
Julai 2022.
"Inisiatif
ini bertujuan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia terutamanya golongan
berusia 40 tahun ke atas untuk menjalani saringan kesihatan," katanya
dalam kenyataan, hari ini.
Saringan
kesihatan adalah penting bagi pengesanan dan pencegahan awal NCD dan selain
berperanan mencegah isu hilang upaya dan kematian awal dalam kalangan pekerja.
Berdasarkan
statistik Perkeso pada tahun 2021, seramai 16,906 pencarum dilaporkan hilang
upaya atau meninggal dunia akibat NCD, dengan purata 46 kes dilaporkan kepada
Perkeso setiap hari.
Pelancaran
semula HSP 2.0 diadakan dengan kerjasama Sime Darby Plantation Berhad (SDP)
dalam satu majlis bertempat di Sime Darby Plantation Academy, Pulau Carey,
Klang, kelmarin.
Majlis
pelancaran yang disempurnakan Mohammed Azman itu turut dihadiri Ketua Pegawai
Eksekutif Upstream Malaysia SDP, Roslin Azmy Hassan.
Bersempena
dengan pelancaran HSP 2.0 itu, Perkeso turut menganjurkan Program Turun Padang
bagi pelaksanaan HSP 2.0 kepada kira-kira 150 orang pekerja SDP di akademi
berkenaan.
Perkeso
juga melaksanakan saringan kesihatan asas melalui Mobile Health Screening and
Injury Prevention Unit menggunakan bas HSP bagi memberi peluang kepada lebih
ramai pekerja di SDP untuk menjalani saringan kesihatan.
Roslin
berkata, sebagai sebuah syarikat yang sentiasa menitikberatkan kesihatan,
keselamatan dan kebajikan pekerja, SDP amat berbangga dan berterima kasih
kepada Perkeso kerana memilih syarikat tersebut sebagai lokasi pelancaran HSP
2.0.
"Sime
Darby Plantation menggalakkan warga kerja untuk membuat pemeriksaan kesihatan
secara berkala kerana penting untuk mengesan sebarang masalah kesihatan dan
mendapatkan rawatan yang berkesan dengan lebih awal.
"Tahniah
kami ucapkan kepada Perkeso kerana melancarkan satu inisiatif yang begitu
positif dan relevan kepada keperluan warga kerja masa kini.
"Kami
percaya, HSP 2.0 akan terus mendapat sambutan orang ramai dan meningkatkan lagi
keprihatinan warga kerja di negara ini kepada penjagaan dan pemantauan
kesihatan diri," katanya.
Berdasarkan
statistik Perkeso, seramai 3.6 juta pekerja layak mendapatkan saringan
kesihatan percuma di bawah HSP dan daripada jumlah berkenaan, seramai 576,902
pekerja sudah menjalani saringan kesihatan berkenaan.
Sebelum
ini, operasi HSP terpaksa ditangguhkan sementara dari 1 April 2020 hingga 31
Mei lalu bagi memberi laluan dan menyokong usaha kerajaan mengekang penularan
wabak Covid-19.
Sumber:
hmetro