Pertubuhan
Keselamatan Sosial (Perkeso) telah mengambil tindakan proaktif dengan
menggantung bayaran Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya)
berjumlah RM423 juta.
Ketua
Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed memaklumkan,
tindakan itu diambil disebabkan terdapat majikan yang mengemukakan tuntutan
palsu dan menyeleweng dana Penjana Kerjaya sejak bulan Mei tahun lalu.
“Sebagai
sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia yang diamanahkan untuk
melaksanakan pelbagai inisiatif Kerajaan semasa tempoh pandemik Covid-19,
Perkeso memandang serius isu penyelewengan ini kerana bantuan kewangan kerajaan
bertujuan untuk meringankan beban pihak yang layak serta benar-benar
memerlukan, mengikut syarat dan kaedah yang ditetapkan.
“Tindakan
penggantungan bayaran tersebut dibuat berdasarkan penganalisian data dan
pemantauan berterusan oleh Bahagian Anti Fraud, Etika & Integriti (AFEI),
Perkeso,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain
itu, Mohammed Azman berkata, Perkeso komited untuk terus memberikan sokongan
dan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam
menjalankan siasatan berhubung kes tuntutan palsu Program Penjana Kerjaya
membabitkan pihak majikan dan penyedia latihan di seluruh negara melalui Ops
Hire.
“Perkeso
amat menekankan nilai integriti, kejujuran dan amanah dalam pengagihan bantuan
kewangan kerajaan kerana ia melibatkan dana awam,” ujarnya.
Tambahnya,
sehingga kini, jumlah bayaran yang telah dibuat oleh PERKESO kepada para
majikan dan pekerja di bawah Program PenjanaKerjaya adalah sebanyak RM2.34
bilion, membabitkan seramai 45,379 majikan bagi menempatkan 327,789 pencari
kerja ke dalam pekerjaan.
Sumber:
KOSMO! ONLINE