Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengajak semua
rakyat khususnya yang sedang mencari pekerjaan atau ingin meneroka peluang
pekerjaan baharu untuk mengunjungi Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia
2022.
Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman
Aziz Mohammed berkata, ekspo anjuran Kementerian Sumber Manusia (KSM) dengan
kerjasama Perkeso itu akan diadakan pada 23 sehingga 27 Julai ini, di Pusat
Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
“Ia bakal menjadi karnival pekerjaan terbesar dan julung
kali diadakan pada tahun ini bagi mencapai sasaran Kerajaan untuk mencipta
600,000 peluang pekerjaan melalui ‘Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia’ di
bawah Bajet 2022.
“Berkonsepkan ‘One Stop Employment Solution’, ekspo ini
bermatlamat menjadi platform yang menghimpunkan pelbagai peluang pekerjaan di
seluruh negara oleh para majikan di bawah satu bumbung,” katanya dalam
kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ekspo tersebut bakal
menyediakan lebih 30,000 kekosongan jawatan daripada pelbagai kategori dan
sektor pekerjaan termasuk profesional dan pengurusan untuk diisi oleh pencari
kerja.
“Ekspo ini turut melibatkan kira-kira 1,000 majikan
termasuk sektor ekonomi gig, keusahawanan dan penyedia latihan yang menyediakan
program ‘Place and Train’.
“Petronas, ExxonMobil, UMW Holdings, MBSB Bank dan RHB
Bank adalah antara majikan yang akan menyertai ekspo ini,” katanya.
Katanya lagi, orang ramai diminta untuk membuat
pra-pendaftaran.
“Sebarang maklumat lanjut berkaitan ekspo ini boleh diakses
melalui pautan www.myfuturejobs.gov.my/careerfair.
“Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Careline PERKESO
di talian 1-300-22-8000 atau 03-80915300, atau e-mel ke
perkeso@perkeso.gov.my,” katanya.
Sumber: UTUSAN ONLINE