Perdana Menteri Kecewa Gaji Tidak Setimpal Kelayakan
Kuala Lumpur: "Saya sedikit kecewa kerana gaji
ditawar majikan tidak setimpal dan berpadanan dengan kelayakan dan kerja
dilakukan oleh anak tempatan," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail
Sabri Yaakob..
Beliau berkata, statistik MYFutureJobs menunjukkan gaji
bagi kekosongan jawatan paling banyak ditawarkan di seluruh negara antara
RM1,200 hingga RM2,000 sebulan.
"Saya mengingatkan majikan bahawa mulai 1 Mei lalu
gaji minimum seseorang pekerja ialah RM1,500 bagi keselesaan hidup.
"Saya meminta supaya majikan mengambil serius
mengenai perkara ini kerana pekerja adalah tunjang utama dalam
organisasi," katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Ekspo Kerjaya
Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Dagangan Dunia, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M
Saravanan; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ketua
Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr
Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan kini
giat membangunkan 'talent pool' yang berkemahiran, produktif dan berpotensi
tinggi.
Menurutnya, inisiatif itu dibuat bagi membolehkan gaji
yang ditawarkan majikan berpadanan dengan kelayakan dan kemahiran yang
dimiliki.
Katanya, bagi menangani ketidakpadanan ini, Kementerian
Sumber Manusia (KSM) digesa berunding dengan pihak majikan dan wakil pekerja
bagi mengenal pasti pendekatan dan solusi terbaik kepada masalah ini.
Malah, beliau berkata, platform 'tripartite' Majlis
Penasihat Buruh Kebangsaan boleh dimanfaatkan untuk melaksanakan konsultasi
tiga penjuru bagi mencapai kata sepakat antara kerajaan, majikan serta pekerja.
Mengulas lanjut mengenai Ekspo Kerjaya Jamin Kerja
Keluarga Malaysia, beliau berkata, gabungan lima elemen iaitu majikan, pekerja,
ekonomi gig, keusahawanan dan perusahaan sosial, memberikan solusi kerjaya yang
lengkap kepada rakyat Malaysia.
Katanya, ekspo kerjaya yang disokong dengan pewujudan
Portal Pekerjaan Negara, MYFutureJobs yang mampu melakukan padanan pekerjaan
dan perkhidmatan kerjaya lain selain menawarkan inisiatif kerajaan.
"Menerusi program JaminKerja-Insentif Penggajian
(JKIP) ini, kerajaan dapat memangkinkan penciptaan peluang pekerjaan dan
pengambilan pekerja sepanjang tahun ini, termasuk di ekspo kerjaya yang sedang
berlangsung ini," katanya.
Program yang menawarkan lebih 30,000 peluang pekerjaan
dengan pembabitan 1,000 majikan ini turut diiktiraf sebagai ekspo kerjaya
terbesar di Malaysia.
Sumber: Harian Metro
0 Response to "Perdana Menteri Kecewa Gaji Tidak Setimpal Kelayakan"