PUTRAJAYA:
Pengusaha penternakan ayam secara kecil dan sederhana dibenarkan menerima
bayaran pendahuluan subsidi harga ayam sebagai satu daripada cara memastikan
bekalan ayam terus stabil di pasaran.
Pengerusi
Pasukan Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa yang juga Menteri Komunikasi
dan Multimedia, berkata ia bertujuan mempermudah proses bayaran dan tuntutan
subsidi harga ayam, yang membolehkan petani dan penternak menerima kemudahan
itu tanpa banyak masalah.
"Mereka
diberikan peluang bagi mendapatkan bayaran pendahuluan sebelum tuntutan penuh
diperoleh," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat
Pasukan Jihad Tangani Inflasi, di sini hari ini.
Setakat
ini, katanya, jumlah keseluruhan subsidi harga ayam yang diperuntukkan kerajaan
sejak 5 Februari lalu adalah RM1.1 bilion.
Annuar
berkata, berdasarkan laporan yang dibentangkan pada mesyuarat hari ini, harga
serta bekalan ayam di pasaran adalah stabil.
Beliau
berkata, semakan yang dibuat pasukan penguat kuasa mengesahkan sememangnya ayam
sedang dijual pada harga siling, malah terdapat penjual ayam yang berkeupayaan
menjual dengan harga jauh lebih rendah dari harga siling, ada yang kurang
daripada RM9 satu kilogram (kg).
Bermula
1 Julai lalu, kerajaan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40
satu kg bagi Semenanjung Malaysia, manakala harga ayam di ladang ditetapkan
pada RM6/kg dan harga ayam di pihak pemborong pada RM8.10/kg.
"Kita
dapati struktur (harga) ini dapat dilaksana dengan baik dan diterima oleh semua
pihak terbabit. Ini membolehkan bekalan dalam keadaan stabil," katanya.
Annuar
berkata, keseluruhan ekosistem berkaitan dengan pengeluaran ayam sedang
diteliti dan pemantauan berterusan akan dilakukan untuk memastikan sistem
bekalan dan ekosistem bekalan ayam adalah terkawal.
Beliau
juga berkata, kerajaan memperkenalkan beberapa langkah untuk memastikan bekalan
ayam terus stabil di pasaran, termasuk mempermudah cara prosedur import (IP) ke
atas empat komoditi, mempercepat proses keperluan lesen pengimportan dan
penambahan abbatoir serta loji pemprosesan luar negara.
Beliau
berkata, permohonan IP Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia
(MAQIS) untuk empat komoditi iaitu soya, gandum, jagung dan makanan ternakan
berasaskan haiwan serta tumbuhan melalui penangguhan fi permit, dipermudahkan,
serta 'priority lane' diwujudkan bagi proses kemasukan pantas sehingga bekalan
ayam kembali stabil.
"Proses
keperluan lesen pengimportan di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar
dipercepatkan melalui kelulusan secara interim bermula 1 Julai lepas. Proses
kelulusan dalam masa tujuh hari bekerja berbanding 30 hingga 90 hari (sebelum
ini)," katanya ini akan memberi manfaat kepada 380 syarikat pengimport
bahan makanan ternakan.
Sumber:
BERNAMA