Penasihat Syariah Kewangan Islam bongkar ‘scam’ pelaburan
emas kononya patuh syariah terbesar di Malaysia iaitu Genneva Gold yang
melibatkan 35,000 orang pelabur.
Umum mengetahui pelaburan berasaskan emas kini sedang
mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia di mana ia satu pelaburan yang
menguntungkan pada masa depan.
Namun, rakyat negara ini harus berhati-hati dalam memilih
syarikat pelaburan emas dan banyak syarikat yang menipu kononya telah mendapat
pengiktirafan ‘patuh syariah’.
Mengapa orang ramai terjebak dengan scam emas ini?
Penasihat dan juga perunding syariah Dr Abdel Rahmanov telah
membongkar satu scam pelaburan emas Geneneva Gold mendakwa mendapat
pengiktirafan “patuh syariah”.
Ikuti pembongkaran daripada beliau;
Genneva Gold ini adalah brand bagi sebuah syarikat
perniagaan menjual emas yang ditubuhkan sejak tahun 2002.
Mereka sebut dalam profil syarikat, “The one and only gold
company that is shariah compliant”.
Ayat ini sebiji macam tagline kedai mamak Syed Bistro”. The
one and only Bhukhara Briyani” Amma!
Genneva Gold mempunyai 11 buah pejabat di Malaysia termasuk
wakil perniagaan di China, Indonesia, Filipina dan Singapura. Keadaan Ini
menggambarkan Genneva Gold sebuah perniagaan yang kukuh.
Genneva Gold mempunyai seorang pengarah daripada orang
Melayu Muslim, Ahmad Khairuddin Ilias dan seorang daripada kerabat Diraja
Pahang.
Genneva Gold menawarkan pelaburan emas menarik iaitu menjual
emas kepada pelanggan pada harga premium 29%-30% daripada harga pasaran tetapi
pelanggan mendapat ‘hibah’ (hadiah) 1.5% pada setiap bulan.
Selepas kontrak 6 bulan, pelanggan boleh menyimpan emas atau
menjualnya semula kepada Genneva Gold pada harga belian asal atau menjual
kepada pihak ketiga.
Sekali pandang pelaburan emas Genneva Gold amat berbaloi!
Hibah sebanyak 18% setahun. Emas fizikal dapat, hibah pun dapat, patuh syariah
pula. Warren Buffet mesti terkejut!
Genneva Malaysia dilancarkan secara rasmi pada tahun 2010
oleh Tun Mahathir. Mungkin Tun Mahathir dipergunakan dalam hal ini.
Beliau antara tokoh besar yang mendukung penggunaan emas.
Beliau menyebut dalam ucapannya, “Wang (mata wang) hanyalah sehelai kertas yang
digunakan untuk mewakili nilai tertentu tetapi bukan nilai sebenarnya, namun
emas dapat mewakili nilai sebenarnya kerana itu adalah logam berharga di
seluruh dunia.”
Masa berlalu dan dilaporkan seramai 8,000 pelanggan yang
telah membeli 4,000 kg emas masih belum menerima emas mereka.
Genneva Malaysia berhutang sebanyak RM80 juta. Mengikut
kertas siasatan, Genneva Gold beroperasi dengan menanggung liabiliti
(tanggungan) 10 kali ganda lebih besar berbanding aset yang dimilikinya.
Bank negara Malaysia menyebut, “Initial forensic accounting
has uncovered considerable losses being experienced by the company in 2012 and
the company has liabilities exceeding 10 times its assets."
Pada 1 Oktober 2012, Genneva Gold diserbu oleh pihak
berkuasa Malaysia dan Singapura atas kesalahan pengambilan deposit secara
haram, pengubahan wang haram dan sebagainya.
Sebelum peristiwa itu, penasihat-penasihat Syariah telah
menarik diri daripada Genneva Gold. Syarikat ini menggunakan label “patuh
Syariah bagi mengkaburi operasi scam mereka.
Jika ada penasihat Syariah tiba-tiba menarik diri maka
berhati-hatilah. Pokok tidak akan bergoyang jika tidak ditiup angin.
Semasa serbuan, Bank Negara Malaysia menyita aset Genneva
Gold iaitu RM99.8 juta wang tunai dan 126 kg emas untuk siasatan lanjut.
Perbicaraan Genneva Malaysia amat panjang. Pada bulan Ogos
2020, Mahkamah Tinggi mendapati Genneva Malaysia bersalah dan didenda RM450
juta, 8 orang individu dijatuhkan hukuman penjara 4 hingga 9 tahun dan denda RM
1 juta dan RM4 juta setiap seorang.
Namun pelabur-pelabur Genneva Gold tidak mendapat semula
wang mereka dan mereka perlu melalui proses undang-undang yang panjang. Sebab
itu, mangsa scam keberatan untuk melaporkan skim pelaburan yang diragui supaya
aset syarikat tidak dibekukan.
Kesimpulannya, syarikat perniagaan yang sah menjual emas,
mendakwa patuh syariah dan mempunyai nama besar tidak semestinya bukan scam.
Duit tak dapat, emas tak dapat, habuk pun tak dapat. Amma appa!!
Jika sesuatu pelaburan ada bau-bau scam maka cepat-cepat
tarik diri sebelum nasi menjadi basi. Sejarah tidak menipu. Pengalaman mengajar
kita menjadi lebih matang dan dewasa.
Sumber: malaysiadateline