Paxlovid,
iaitu ubat antivirus oral yang digunakan untuk merawat pesakit Covid-19, kini
boleh didapati secara percuma di fasiliti kesihatan swasta.
Bagaimanapun
kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, pesakit masih tertakluk kepada yuran
perundingan dan caj lain berkaitan yang ditentukan oleh fasiliti terbabit.
“Klinik
atau hospital swasta yang berminat untuk mendapatkan Paxlovid mesti mendapatkan
bekalan daripada fasiliti kesihatan dikenal pasti yang menyimpan ubat-ubatan
tersebut,” katanya pada sidang media.
Ubat
keluaran Pfizer itu digunakan oleh semua hospital kerajaan untuk merawat
pesakit Covid-19 Kategori 2 dan 3 bergejala ringan sehingga sederhana sejak 15
April dengan pesakit kronik diberi keutamaan.
Sehingga
5 Jun, 1,364 pesakit pulih tanpa kesan sampingan dikesan.
Khairy
berkata, rawatan itu terbukti selamat dan berkesan dalam mengurangkan kesan
jangkitan Covid-19 dan kadar kematian pesakit.
Pfizer
baru-baru ini melaporkan Paxlovid berkesan terhadap orang tua dan kumpulan
berisiko tinggi, tetapi kelihatan kurang berkesan untuk orang dewasa berisiko
sederhana.
Mengulas
penyambungan Program Imunisasi Covid-19 untuk Kanak-kanak (PICKids) selama lima
hari mulai semalam, Khairy berkata, seramai 397 kanak-kanak menerima vaksin
pada hari pertama. Kira-kira 150 daripada mereka baru masuk usia lima tahun.
Beliau
berkata, sambutan warga emas dan kumpulan berisiko tinggi terhadap dos kedua
vaksin penggalak Covid-19 juga memberangsangkan.
Setakat
20 Jun, sebanyak 107,884 dos penggalak kedua telah diambil dengan 57,834
daripadanya oleh warga emas, katanya.
Mengenai
kekurangan ubat-ubatan belian kaunter, Khairy berkata, Kementerian Kesihatan
(KKM) telah memantau kekurangan itu berdasarkan bahan aktif dan produk yang
dilaporkan oleh fasiliti dan industri.
KKM
juga menjalankan pemeriksaan rawak ke atas tujuh hospital swasta, 10 klinik
kesihatan swasta dan 30 farmasi komuniti berhubung perkara itu.
Kira-kira
85% daripada 47 fasiliti dilaporkan mengalami kekurangan sekurang-kurangnya
satu ubat, katanya. Kebanyakannya melibatkan ubat batuk, selesema dan demam
serta antibiotik untuk kanak-kanak.
Beliau
berkata, senarai produk yang mengalami kekurangan serta produk alternatif
dikongsi dengan persatuan berkaitan dan akan dikemas kini dari semasa ke
semasa.
Sementara
itu Khairy berkata, kerajaan belum membuat sebarang pembayaran kepada MySJ Sdn
Bhd untuk aplikasi MySejahtera.
KKM
baru-baru ini menerima kelulusan daripada Jabatan Peguam Negara untuk memulakan
rundingan harga, tambahnya.
“Hasil
rundingan ini akan diserahkan kepada Kementerian Kewangan dan kemudian kepada
Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan,” katanya.
Berikut Senarai Fasiliti
Kesihatan Swasta Yang Menyertai Program Peluasan Rawatan Covid-19 Dengan Ubat
Antiviral Paxlovid: