KUALA
LUMPUR: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk sekali lagi menaikkan Kadar
Dasar Semalaman (OPR) pada tahun ini dibuat berdasarkan beberapa faktor yang
berlaku dalam ekonomi negara pada masa ini.
Penganalisis
Ekonomi Putra Business School (UPM), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff,
berkata apabila OPR dinaikkan, kos pinjaman meningkat dan perbelanjaan oleh individu
serta perniagaan akan berkurangan kerana mereka akan lebih cenderung untuk
menyimpan.
"Ini
akan menyebabkan permintaan kurang daripada penawaran sekali gus mengurangkan
kadar inflasi.
"OPR
dijangka naik 25 mata asas kepada 2.25 peratus pada Julai dan 2.5 peratus pada
September ini, mengambil kira kenaikan kadar inflasi pada 2.8 peratus pada Mei
dan juga kenaikan kadar faedah di AS," katanya kepada BH.
Jawatankuasa
Dasar Monetari (MPC) bank pusat hari ini memutuskan untuk menaikkan OPR yang
menjadi penanda aras pinjaman dan tabungan iaitu sebanyak 25 mata asas atau
0.25 peratus kepada 2.25 peratus.
Ia
kenaikan kedua berturut-turut tahun ini selepas BNM menaikkan OPR sebanyak 25
mata asas kepada 2.00 peratus semasa mesyuarat terakhirnya Mei lalu.
Mengulas
lanjut, Ahmed Razman berkata, walaupun OPR akan dinaikkan ke kadar yang lebih
tinggi, ia lebih rendah daripada kadar sebelum pandemik iaitu sekitar 3.00
hingga 3.25 peratus
"Oleh
itu, ia masih tidak begitu membebankan peminjam terutama golongan B40.
"Namun,
pihak bank terutamanya perbankan Islam harus mengambil inisiatif di bawah
konsep Maqasid Syariah untuk tidak menaikkan kadar keuntungan yang dikenakan
kepada pelanggan mereka, walaupun OPR akan dinaikkan.
"Ini
untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa perbankan Islam bukan ditubuhkan
untuk mendapatkan keuntungan yang setinggi mungkin, tetapi sebagai alternatif
pembiayaan kepada umat Islam yang tidak akan membebankan mereka terutama dalam
suasana ekonomi tidak menentu ini," katanya.
Penganalisis
Ekonomi Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin pula
berkata, dari perspektif dasar monetari, keputusan BNM itu membabitkan isu
untuk mengurus jangkaan tekanan inflasi, mengurus pergerakan modal asing dan
mengawal nilai ringgit.
Beliau
bagaimanapun berkata, peningkatan OPR perlu dilakukan secara berhati-hati
supaya tidak menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun ini,
yang dijangkakan akan bertumbuh pada kadar 5.3 hingga 6.3 peratus.
"Namun
begitu, apa yang merisaukan adalah kesan segera peningkatan OPR ini kepada
rakyat, kerana ini akan meningkatkan lagi bebanan hidup mereka dengan
peningkatan dalam kos pinjaman. Akhirnya, masalah kos sara hidup yang mereka
hadapi pada hari ini akan menjadi semakin parah.
"Bantuan
tambahan tunai yang diberikan melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) nampaknya
akan disalurkan kepada pihak bank untuk menampung peningkatan dalam kos
pinjaman akibat daripada peningkatan OPR sebanyak 25 mata asas ini.
"Begitu
juga kepada mereka yang sudah mula 'mengikat perut' atau telah melakukan
penjimatan dalam perbelanjaan , simpanan tambahan ini terpaksa pula disalurkan
kepada pihak bank akibat penambahan kos pinjaman," katanya sambil menambah
industri tertentu seperti automotif dan hartanah dijangka turut akan menerima
kesan negatif daripada tindakan terkini daripada BNM.
Sumber:
bharian