Melaka Belasah Penang
MELAKA: Melaka United (MU) bangkit daripada tersingkir
saingan Piala FA apabila membelasah Penang FC 4-1 pada aksi Liga Super di
Stadium Hang Jebat, Paya Rumput sebentar tadi.
Malah, anak buah Asri Ninggal tidak perlu menunggu lama
untuk membuka jaringan apabila seawal minit keempat sudah membolosi gawang pelawat
menerusi gol Emmanuel Oti.
Gol terbabit berpunca daripada hantaran Adriano Narcizo
yang disambut baik Oti yang mudah menolak masuk gol pertama menewaskan penjaga
gol Muhammad Hafizul Hakim.
Selepas itu permainan terus dikuasai Melaka dengan tuan
rumah turut memiliki peluang menambah jaringan namun sepakan percuma Adriano
pada minit ke-19 berjaya diselamatkan Hafizul.
Seminit selepas itu Penang FC turut memiliki peluang
menjaringkan gol menerusi Lucas da Silva namun percubaan kencangnya sedikit melepasi
palang gol ketika penjaga gawang Melaka Ahmad Asyraaf Omar sudah bersedia.
Barisan pelawat yang hadir ke bumi Hang Tuah dengan
kelebihan moral selepas mara ke separuh akhir dengan menewaskan Sri Pahang di
suku akhir Piala FA bagaimanapun terus dikejutkan dengan jaringan Adriano.
Kali ini Adriano membuktikan dia antara pemain yang
perlu diberi perhatian barisan lawan selepas mengutip hantaran Norde dengan
melakukan merembat kencang menghadiahkan gol kedua Melaka pada minit ke-36
saingan.
Babak kedua menyaksikan barisan Hang Tuah semakin rakus
untuk menambah jaringan dengan mengatur corak permainan terbuka menerusi
gerakan Andriano, Ifedayo Olusegun, Oti dan Fadhil Idris sambil dibantu Syazwan
Andik dan rakan sepasukan.
Akhirnya gerakan menarik yang direncanakan membuahkan
hasil menerusi jaringan ketiga menerusi Ifedayo pada minit ke-58 selepas
menerima hantaran Norde sekali gus menceriakan lebih 1,000 penyokong yang
hadir.
Norde yang sering menjadi masalah buat benteng
pertahanan Harimau Kumbang terus menghukum kealpaan barisan pelawat dengan kali
ini dia melakukan hantaran kepada Justin Baas bagi membolehkan pemain import
dari Filipina untuk menolak masuk gol keempat pasukannya pada minit ke-60.
Bagaimanapun, kesungguhan anak buah Zainal Abidin
Hassan terbalas dengan gol sagu hati menerusi sepakan percuma Lucas da Silva
pada minit ke-86.
Sumber: Berita Harian
0 Response to "Melaka Belasah Penang"