KUALA
LUMPUR: Memasuki hari ke-15 tayangan, filem box office, Mat Kilau Kebangkitan
Pahlawan arahan Syamsul Yusof dilihat hampir pasti mengungguli senarai filem
tempatan paling laris pernah diterbitkan dalam sejarah perfileman negara sejak
naskhah pertama Laila Majnun dihasilkan pada 1933.
Angka
jualan tiket filem terbitan Studio Kembara Sdn Bhd ini terus melonjak dengan
jumlah terbaru dilaporkan lebih RM51.8 juta selepas 13 hari tayangan.
Malah,
penangan Mat Kilau turut menyaksikan filem Hollywood, Top Gun: Maverick dan
Jurassic World (Dominion) 'berkubur' dalam carta pecah panggung, membuktikan
kekuatan filem tempatan dalam menarik penonton ke pawagam.
Dijangka,
menghampiri hujung minggu ini, jualan tiket terus meningkat berikutan
keterujaan penonton menyaksikan kisah pahlawan terbilang, Allahyarham Mat Kilau
Iman Rasu ini yang hangat diperkatakan dalam pelbagai platform termasuk TikTok.
Berdasarkan
jualan tiket, Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan hampir pasti hampir mengatasi
kutipan sebuah lagi filem arahan Syamsul, iaitu Munafik 2 sebanyak RM48 juta
pada 2018. Munafik 2 sebelum ini mendahului senarai filem paling laris pernah
diterbitkan di Malaysia.
Mewarisi
'sentuhan emas' bapanya yang diberi jolokan Six Million Dollar Man, Datuk Yusof
Haslam, Syamsul berjaya mengubah persepsi ramai terhadap filem tempatan yang
setanding karya antarabangsa.
Pengarah
Terbaik, Festival Filem Asia Pasific Ke-57 melalui filem Munafik ini memberi
sentuhan magis dalam filem epik pertamanya, Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang
ditayangkan di Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam sejak 23 Jun lalu.
Filem
ini mula mencipta rekod apabila mengaut RM1 juta pada hari pertama tayangan,
sekali gus mengubah iklim dunia perfileman tempatan apabila muncul filem genre
epik pertama mencapai kutipan pecah panggung sebaik dipertontonkan.
Fenomena
dicetuskan filem ini menyaksikan penonton berpusu-pusu ke pawagam ketika fasa
peralihan endemik ini, malah ramai yang menggayakan busana klasik termasuk
persalinan pahlawan seperti baju Melayu, samping dan tanjak sebagai tanda
sokongan.
Meneliti
rekod kutipan tertinggi filem tempatan yang dilaporkan sejak 2014, menyusuli
Munafik 2, filem arahan Allahyarham Mamat Khalid, Hantu Kak Limah mengaut lebih
RM36 juta pada 2018 diikuti filem animasi sentuhan Usamah Zaid Yasin, Ejen Ali
The Movie yang meraih jualan tiket RM30 juta pada 2019.
PASKAL
(RM28.9 juta), Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal (RM26.2 juta), Polis EVO
2 (RM22 juta) dan Abang Long Fadil 2 (RM18.5 juta).
Turut
merekodkan jualan tiket tinggi Polis EVO (RM17.7 juta), The Journey (RM17
juta), Munafik (RM17 juta) dan Ola Bola (RM16 juta).
Mengulas
fenomena dicetuskan melalui filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan, Yusof
berbangga Syamsul berjaya membuktikan filem epik dan ikonik mampu menewaskan
genre lain yang menjadi pilihan penonton, selama ini.
"Mat
Kilau mencatat sejarah baharu dalam dunia perfileman tempatan apabila menjadi
filem epik Melayu pertama terlaris sepanjang zaman menewaskan Munafik 2.
"Semuanya
dengan izin Allah. Pengiktirafan atau kredit harus diberi kepada Syamsul dan
Studio Kembara sebagai penerbit.
"Sudah
tertulis inilah rezeki mereka. Saya tumpang bangga dengan kutipan hebat yang
belum pernah disaksikan dalam sejarah industri perfileman tempatan.
"Kejayaan
filem Mat Kilau menjadi anjakan industri perfileman dan pawagam ketika berada
dalam fasa peralihan ke endemik.
"Malah,
melihat kegilaan penonton terhadap filem ini, tidak mustahil kutipan lebih
berganda diraih," katanya kepada BH Online.
Sebelum
ini, Yusof mencatat sejarah dalam industri perfileman apabila filem arahan dan
terbitannya, Sembilu 2 lakonan Datuk Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain menjadi
filem box-office Melayu pertama mencapai kutipan tertinggi RM6.1 juta pada
1994.
Dalam
teruja melihat apa yang dikatakan kebangkitan semula filem Melayu, Yusof berharap
kerajaan mengkaji keluhan penerbit berhubung duti hiburan 25 peratus yang
dikenakan terhadap pembikin filem.
Yusof
berkata, duti hiburan di Malaysia antara yang tertinggi di Asia dan seluruh
dunia.
"Isu
ini sudah lama menjadi kudis. Sedangkan, kita tahu pembikin filem dan pengusaha
pawagam mencari untung bersama.
"Mengambil
contoh, filem Munafik pernah ditayangkan di Jakarta, Indonesia termasuk bandar
kecil. Namun, pembahagian keuntungan antara pawagam dan penerbit dibuat sama
iaitu 50-50 sepanjang tempoh tayangan.
"Begitu
juga di Thailand dan Filipina. Pengusaha pawagam di Malaysia sahaja meletakkan
peratusan mengikut minggu tayangan. Bagi saya, ini tidak adil bagi filem yang
memberi keuntungan besar.
"Saya
berharap perkongsian 50-50 antara penerbit dan pawagam dikekalkan tanpa perlu
kenaikan mengikut minggu tayangan," katanya.
Yusof
berharap, kerajaan mengurangkan duti hiburan kepada tujuh peratus.
"Hari
ini duti hiburan dikenakan sebanyak 25 peratus. Diakui, ia amat membebankan
penerbit.
"Jadi,
saya harap angka dikurangkan kepada tujuh peratus seperti yang dipraktikkan
negara jiran," katanya.
Mat
Kilau Kebangkitan Pahlawan diterbitkan Studio Kembara dan Skop Production Sdn
Bhd dengan kos dilaporkan RM8 juta.
Menjalani
penggambaran selama 100 hari di Perak, Pahang, Melaka dan Selangor. Filem ini
menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy,
Fattah Amin, Johan As'ari dan Yayan Ruhan.
Sumber
: Bharian