Kuala Lumpur: Penyanyi, pengarah dan juga penerbit, Mawi
mahu penonton terus memberi sokongan kepada filem arahan Syamsul Yusof iaitu
Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang mula ditayangkan di pawagam sejak 23 Jun
lalu.
Ini kerana, Mawi, 41, menjelaskan kutipan filem Mat Kilau
yang sudah melebihi RM12 juta ketika ini masih belum balik modal kos RM8 juta
yang dikeluarkan pihak produksi.
"Perkara ini ramai tak tahu dan ini berdasarkan
pengalaman saya sebagai penerbit filem. Saya nak beritahu kalau berjaya dapat
RM12 juta dengan modal RM8 juta, bermaksud untuk penerbit masih belum balik
modal.
"Saya jelaskan, yang pertama sekali apabila filem itu
ditayangkan di pawagam maka perlu bayar cukai hiburan sebanyak 25 peratus.
"Untuk minggu pertama tayangan, perjanjian antara pihak
penerbit dan panggung wayang pembahagian adalah 50/50 bermaksud separuh perlu
bayar.
"Jadi, selepas bayar cukai hiburan sebanyak 25 peratus,
jumlah yang tinggal itu perlu dibayar sebanyak 50 peratus pula kepada pihak
panggung wayang," katanya menerusi satu hantaran di laman sosial.
Dalam hantaran sama, Mawi juga menjelaskan pengiraan dan
jumlah keuntungan bersih yang berjaya diperoleh pihak penerbitan filem Mat
Kilau setakat ini.
"Sekarang kita cerita mengenai Mat Kilau pula, RM12
juta itu perlu tolak sebanyak 25 peratus untuk bayar cukai hiburan dan jumlah
bayarannya adalah RM3 juta. Jadi, baki mereka adalah RM9 juta.
"RM9 juta itu pula perlu bahagi dua antara pihak
penerbit dan juga pihak panggung wayang. Selepas bahagi maka tinggallah RM4.5
juta. Jadi, masih belum balik modal sebab modal nak buat RM8 juta.
"Itu baru saya cerita tentang minggu pertama. Untuk
minggu seterusnya dah lain kira pula. Minggu-minggu seterusnya pihak panggung
wayang akan ambil lebih lagi dari 50 peratus.
"Minggu kedua pihak panggung wayang akan ambil 55
peratus, minggu ketiga mereka akan ambil 60 peratus. Manakala minggu keempat
pula mereka akan ambil 65 peratus dan pembahagian itu akan tetap sampai habis
tayangan," katanya.
Sumber: bharian