SKUAD sepak takraw lelaki kebangsaan terkandas di
separuh akhir acara antara regu Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja
Thailand Ke-35 2022 selepas tewas kepada pasukan tuan rumah 2-0 di Fashion
Island Sports World di sini pada Selasa..
Pada set pertama, skuad kebangsaan dibarisi Zulkifli
Abd Razak, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Amirul Zazwan Amir yang
ketinggalan 1-9 pada satu ketika berjaya bangkit memberi tentangan hebat
sehingga merapatkan jurang 16-17.
Namun, Thailand ternyata berada pada kelas tersendiri
apabila menoktahkan kemenangan 21-18 sebelum turun lebih garang di set kedua
yang menyaksikan mereka mudah menundukkan skuad kebangsaan 21-10.
Jurulatih kebangsaan Mohd Rashidi Nordin berkata, skuad
kendaliannya terpaksa melalui saat sukar dalam misi ke final berikutan tewas
kepada Korea Selatan dalam peringkat kumpulan.
"Walaupun regu negara bangkit dan memberi saingan
yang sengit tetapi pasukan tuan rumah terus mara dan mencatatkan kemenangan,”
katanya kepada Bernama.
Sebelum ini, regu negara tewas mengejut kepada Korea
Selatan sekali gus menamatkan saingan Kumpulan B sebagai naib juara dan
terpaksa berdepan Thailand selaku juara Kumpulan A.
Thailand akan membuat perhitungan bersama Korea Selatan
di pentas final bagi penentuan juara antara regu pada Rabu.
Dalam pada itu, skuad kebangsaan akan memulakan cabaran
dalam saingan berpasukan lelaki Khamis ini dengan bertemu Indonesia diikuti
aksi menentang Brunei (Jumaat) dan Korea Selatan pada Sabtu.
Mohd Rashidi berkata, pasukan mempunyai peluang yang
cerah di peringkat kumpulan untuk mara ke peringkat kalah mati.
"Kita memiliki kelebihan dalam berpasukan lelaki.
Kita perlu susun strategi untuk mencatat kemenangan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Rashidi berkata, dalam saingan
beregu berpasukan, Malaysia yang akan bertemu pasukan Nepal esok berpeluang
mara ke peringkat separuh akhir. - Bernama
Sumber: Sinar Harian