Impak
kemelut ekonomi Sri Lanka terhadap ekonomi global dan Malaysia khususnya adalah
minimum, malah negara ini sukar untuk terjerumus ke dalam konflik sama seperti
yang dialami oleh negara Asia Selatan itu, demikian tegas penganalisis.
Profesor
Ekonomi Sunway University, Dr Yeah Kim Leng, berkata walaupun Sri Lanka
berkongsi banyak persamaan sejarah, budaya dan ekonomi dengan negara ini,
tetapi Malaysia melonjak ke hadapan dari segi pendapatan perkapita dan
perindustrian, berikutan tempoh kestabilan yang panjang serta kemantapan
pengurusan makroekonomi.
Beliau
berkata, walaupun paras hutang meningkat, pinjaman sebahagian besarnya dalam
denominasi ringgit dan hutang domestik itu tidak terdedah kepada kemungkiran
tidak seperti Sri Lanka yang banyak meminjam mata wang asing.
Selain
itu, jelasnya, rizab antarabangsa Malaysia kekal pada paras selesa bersamaan
dengan enam hingga tujuh bulan import barangan dan perkhidmatan, sebaliknya
rizab Sri Lanka ditenggelami oleh pembayaran hutang luar negeri serta
peningkatan import bahan api.
"Sebagai
pengeksport bersih minyak mentah dan gas, Malaysia dilindungi daripada kenaikan
harga minyak yang dicetuskan oleh perang di Ukraine dan sekatan yang dikenakan
ke atas Russia.
"Sama
seperti kebanyakan negara, asas fiskal Malaysia merosot berikutan perbelanjaan
pandemik COVID-19, namun ekonominya yang pelbagai dan sektor eksport yang besar
ditambah dengan lebihan simpanan domestik yang melebar kepada tiga hingga empat
peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menyebabkan negara ini kurang
terdedah kepada hutang luar negeri atau krisis imbangan pembayaran,"
katanya kepada BH.
Krisis
ekonomi Sri Lanka semakin meruncing apabila negara itu tidak lagi mampu
membayar hutang luar negara sebanyak AS$51 bilion (RM216.78 bilion) selepas
rizab negara merosot ke paras terendah.
Pensyarah
Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Irwan Shah Zainal
Abidin, pula berpandangan bahawa impak krisis ekonomi Sri Lanka kepada ekonomi
global adalah minimum, begitu juga dengan kesannya terhadap ekonomi Malaysia
yang dilihat agak terhad.
Mengikut
perangkaan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), beliau
berkata, eksport Malaysia ke Sri Lanka pada 2021 adalah bernilai RM3.02 bilion,
manakala import adalah pada RM321.84 juta.
"Nilai
pelaburan dua hala juga tidak begitu ketara. Walaupun Sri Lanka bergantung
kepada sektor pelancongan dalam ekonomi mereka, kesannya kepada ekonomi dunia
juga tidak begitu ketara," katanya.
Irwan
Shah berkata, jika melihat apa yang berlaku kepada ekonomi Sri Lanka, ia
berpunca daripada pengurusan ekonomi yang tidak berhemat, terutama dari segi
aspek kewangan awam yang mengakibatkan berlaku defisit berkembar dan terpaksa
bergantung kepada pinjaman luar.
Justeru,
katanya, adalah jelas bahawa ciri-ciri itu tidak terdapat dalam konteks ekonomi
Malaysia yang kali terakhir mengalami defisit berkembar pada sekitar lewat
1980-an.
"Ekonomi
Malaysia juga diurus dengan baik pada lima hingga 10 tahun yang lalu, dengan
kadar defisit berjaya dikurangkan daripada 6.7 peratus pada 2009 kepada tiga
peratus pada 2017.
"Pada
2010 hingga 2017 pula, ekonomi Malaysia berjaya berkembang secara purata pada
kadar 5.5 peratus setahun. Nisbah hutang kepada KDNK turut terkawal pada kadar
48.7 peratus pada suku pertama 2018," katanya.
Irwan
Shah berkata, satu ciri penting yang membezakan antara ekonomi Sri Lanka dengan
Malaysia adalah tahap kedaulatan monetari negara ini yang tinggi.
Beliau
berkata, ia berikutan lebih 90 peratus sumber pinjaman atau hutang negara
adalah daripada sumber domestik dan hanya sejumlah peratusan yang kecil
daripada sumber luar.
"Jadi,
kebarangkalian Malaysia menjadi seperti apa yang berlaku kepada ekonomi Sri
Lanka pada ketika ini adalah amat jauh sekali," katanya.
Sementara
itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul
Rashid, berkata krisis ekonomi di Sri Lanka dijangka tidak memberi kesan
langsung memandangkan pendedahan Malaysia dari segi perdagangan antarabangsa
adalah sangat rendah.
Beliau
berpandangan, krisis di Sri Lanka itu boleh memberi pengajaran bahawa
pengurusan ekonomi yang telus dan bebas rasuah adalah unsur terpenting bagi
memastikan sesebuah negara itu akan terus makmur dan harmoni.
Katanya,
adalah sangat penting tadbir urus ekonomi yang baik, lengkap dengan mekanisme
semak dan imbang dan setiap badan kerajaan yang dipertanggungjawabkan perlu jujur
melaksanakan tugas seperti yang diamanahkan.
"Apabila
berlaku salah guna kuasa atau rasuah yang berleluasa, pengagihan sumber ekonomi
menjadi tidak cekap.
"Dengan
kata lain, berlaku pembaziran dan ia sudah pasti membentuk suatu kos yang perlu
dibayar oleh rakyat seperti harga barangan menjadi lebih mahal dan produktiviti
merosot," katanya.
Sumber:
bharian