Struktur
saingan Liga Malaysia (Liga M) dijangka mengalami perubahan besar bermula musim
depan.
Ia
susulan difahamkan saingan Liga Perdana akan dimansuhkan dengan enam pasukan
dari divisyen kedua itu bakal membentuk 18 pasukan yang akan bersaing di pentas
Liga Super 2023.
Perubahan
bilangan pasukan ini bakal menambahkan lagi 'seri' perlawanan dalam Liga Super
selain pasukan yang bertanding akan menerima lebih banyak perlawanan liga dalam
semusim.
Ketika
ini dengan 12 pasukan bersaing, setiap pasukan Liga Super hanya mempunyai 22
perlawanan liga semusim berbanding musim depan yang mana mereka akan beraksi
dalam 34 perlawanan.
Walaupun
dijangka berlaku peningkatan kos buat pasukan bertanding kerana pertambahan
jumlah perlawanan, namun perubahan itu dianggap mampu meningkatkan lagi nilai
komersial Liga Super.
Melihat
dari sudut positif, peningkatan nilai komersial liga akan mempengaruhi jumlah
tajaan yang bakal diperoleh sama ada untuk Liga Super dan pasukan bertanding.
Perubahan
itu juga bakal memberi impak kepada prestasi pasukan kebangsaan apabila pemain
akan mendapat lebih minit permainan dalam liga.
Selain
itu, dengan ketiadaan Liga Perdana, bermakna tiada lagi pasukan 'feeder club'
seperti Johor Darul Ta'zim II (JDT II) Terengganu FC II (TFC II) dan Selangor
2.
Sebaliknya,
saingan Liga Perdana dikatakan akan digantikan dengan saingan Liga Simpanan
yang bakal menjadi medan persaingan khusus bagi pasukan bawah 23 (B-23) tahun.
Pasukan
dalam Liga Simpanan itu boleh dianggap sebagai skuad pembangunan kepada semua
18 pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super 2023.
Difahamkan
juga kelab hanya dibenarkan menyenaraikan tiga pemain lebih umur atau import
untuk pasukan mereka yang bersaing dalam Liga Simpanan.
Kewujudan
Liga Simpanan ini dilihat mampu membuka peluang terbesar untuk pemain B-23
bermain secara kompetitif, sekali gus boleh memberi impak kepada prestasi
mereka apabila di panggil menyertai skuad kebangsaan.
Spekulasi
struktur baharu Liga M itu muncul sejak Mac lalu lagi dan Liga Bolasepak
Malaysia (MFL) mungkin sudah membuat kajian terperinci mengenai impak terhadap
perubahan itu.
Bagaimanapun,
setakat ini belum ada kata putus rasmi dibuat oleh MFL dan keputusan akhir
serta maklumat lebih terperinci berkaitan struktur baharu Liga M itu dijangka
akan diumumkan selepas Mesyuarat Rakan Kongsi Liga Luar Biasa Ketiga, esok.
Sumber:
bharian