Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengeluarkan 227 saman
kepada pemandu kenderaan kerana melakukan pelbagai kesalahan dalam Operasi Khas
Motosikal Hari Raya Aidiladha (HRAA) pada Rabu.
Pengarah
JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, daripada jumlah itu, lesen kenderaan
motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans merupakan kesalahan
paling banyak dikesan iaitu sebanyak 117 kes.
Menurut
beliau, sebanyak 81 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya kerana tiada
lesen memandu dan lesen memandu tamat tempoh serta kesalahan lain seperti tiada
cermin sisi serta ubahsuai kenderaan.
“Kita
turut menyita 11 kenderaan berikutan kesalahan berkaitan LKM selain lima
individu ditahan kerana ujian saringan air kencing didapati positif dadah jenis
methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Zulkarnain
berkata, secara keseluruhan sebanyak 749 kenderaan telah diperiksa sepanjang
operasi tersebut dengan 168 kenderaan diambil tindakan.
Jelas
beliau, HRAA dilaksanakan di empat lokasi melibatkan 89 pegawai dan anggota
dari JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“Operasi
ini diadakan untuk memastikan pemandu kenderaan sentiasa mematuhi peraturan
serta undang-undang di jalan raya sekaligus mengurangkan kemalangan khususnya
yang melibatkan kematian,” katanya.
Sumber:
sinarharian