Kuala Lumpur: Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia
terpaksa akur dimalukan di halaman sendiri apabila tewas seawal pusingan kedua
Terbuka Malaysia.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri dengan sokongan lebih
12,000 penyokong yang membanjiri Axiata Arena gagal memberi kelebihan buat
pemain ranking kelima dunia itu apabila tewas kepada pemain Indonesia, Shesar
Hiren Rhustavito 19-21, 21-19, 16-21 dalam perlawanan yang berlangsung selama
66 minit.
Zii Jia mengakui bahawa lawan bermain dengan lebih baik
berbanding diri menjadi punca kepada kekalahannya hari ini.
"Setiap perlawanan ada memang ada kalah. Kali ini saya
kalah dan saya kena terima. Tiada apa yang dikesalkan.
"Sebab lawan bermain lebih bagus. Sebelum ini saya
lawan dengan dia memang sengit. Dia memang lawan yang sukar.
"Sekarang ini saya tahu tahap saya di mana dan cuma
saya saya kena cari bagaimana nak kekalkan tahap prestasi itu," katanya.
Zii Jia yang dibimbing jurulatih dari Indonesia, Indra
Wijaya sebelum ini berjaya merangkul dua gelaran apabila mengungguli saingan
Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Manila, Filipina dan Terbuka Thailand di
Bangkok bagaimanapun masih belum membuat sebarang keputusan sama ada akan
beraksi atau tidak di Masters Malaysia yang akan bermula Selasa ini.
Kekalahan itu menyaksikan harapan untuk melihat Zii Jia
kembali merampas gelaran Terbuka Malaysia dalam acara perseorangan lelaki
berkecai selepas kali terakhir dimenangi legenda badminton negara, Datuk Lee
Chong Wei pada edisi 2018.
Chong Wei adalah pemenang terbanyak sejak kejohanan itu
diperkenalkan pada 1937 dengan 12 gelaran bagi acara perseorangan lelaki.
Kekalahan Zii Jia itu menyaksikan tiada wakil negara dalam
acara perseorangan selepas kecundangnya Liew Daren dan Ng Tze Yong di pusingan
pertama.
Sementara itu Shesar bersyukur dengan kemenangan ini
terutama dapat mempamerkan tahap permainan terbaik.
Sokongan ribuan penonton yang memberi sokongan kepada Zii
Jia nyata tidak menjejaskan rentak Shesar apabila berjaya menyerap tekanan
dengan begitu baik terutama di set penentuan.
"Saya rasa senang sekali dapat menang ke atas Zii Jia.
Penyokong yang ramai tentu tidak mudah mengalahkan pemain tuan rumah.
"Saya hanya fokus kepada diri sendiri dan tidak terlalu
memikirkan mengenai penyokong yang ramai ini sebab kalau difikirkan ia akan
menjadi tekanan kepada saya.
"Kesilapan Zii Jia adalah sering melakukan kesilapan di
mata akhir itu sebenarnya memberi saya peluang untuk menang," katanya yang
kini menghuni ranking ke-26 dunia berbanding Zii Jia kelima.
Rekod pertemuan membabitkan kedua-dua pemain itu kini
terikat kepada empat sama dari lapan pertemuan sebelum ini.
Menanti Shesar di suku akhir adalah pemain kedua dunia dari
Jepun Kento Momota.
Momota yang juga juara dunia dua kali mara ke kelompok lapan
terbaik selepas menundukkan pemain Hong Kong, Ng Ka Long 11-21, 21-8, 21-18.
Sumber: hmetro