Kutipan filem epik mega, Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan
yang mencetuskan fenomena terus melonjak apabila jualan tiket mencecah RM90
juta selepas 33 hari ditayangkan di seluruh negara, Singapura dan Brunei..
Secara tidak langsung, naskah dengan bajet RM8 juta itu
memadamkan rekod filem blockbuster Hollywood, Avengers: Endgame yang sebelum
ini mencatat kutipan tertinggi di Malaysia sebanyak RM87 juta.
“Dengan izin Allah Mat Kilau raih RM 90 juta dalam masa
33 hari menjadi filem box office Malaysia tertinggi tempatan dan antarabangsa
selepas Munafik 2 dan Avengers End Game.
“Hanya air mata syukur. Tiada kata melainkan
alhamdulillah. Saya dan seluruh pasukan amat terharu dengan sokongan ramai.
“Mengejutkan lagi apabila Mat Kilau menjadi filem No 1
dalam carta Box Office mingguan untuk lima minggu berturut-turut mengenepikan
filem besar Hollywood!
“Terima kasih penonton masih terus beri kepercayaan
pada karya kali ini dan ke semua filem saya sebelumnya. Sejak dari filem
pertama hinggalah sekarang. Insya-Allah moga terus diberi ilham untuk filem
akan datang,” katanya.
Sutradara berusia 38 tahun itu berkata sudah terbukti
filem Melayu masih boleh berdiri di bumi sendiri andai naskah yang dihasilkan
berkualiti dan menepati cita rasa penonton.
“Ini harapan baru sinema tempatan dan buat semua anak
seni tanah air. Ayuh semua pengkarya filem, ayuh bersatu demi majukan industri
seni Malaysia,” luahnya.
Siapa buat yang buat undang-undang?
Sementara itu, menerusi Instagram Syamsul menyatakan
bahawa filemnya bukanlah sebuah filem yang sempurna jika mengikut undang-undang
dan peraturan penghasilan sebuah filem.
Namun, akuinya dia sanggup melanggar peraturan demi
menggembirakan semua penonton Malaysia.
“Sejarah dan rekod tercipta lagi. Filem No.1 dalam
carta Box Office 5 minggu berturut-turut. Ini tak pernah berlaku.
“Filem abang tak sempurna kalau ikut ‘laws & rules
of film making’. I break the rules just to please all of you Malaysia
Audience.”- tulisnya dalam perkongsian tersebut.
Menyifatkan seni itu indah dan subjektif, anak penerbit
tersohor, Datuk Yusof Haslam itu turut berpendapat penghasil filem seharusnya
mengikut kata hati dan bukannya bersandarkan buku semata-mata.
“Sebenarnya siapa yang buat undang-undang pembikinan
filem? Maaf bertanya, siapa ya? Saya tak setuju. Seni itu indah dan amat
subjektif pada semua.
“Abang tak pandai. Tapi pembikin filem kena ikut kata
hati, bukan ikut buku, dan abang percaya, Allahyarham P. Ramlee juga begitu di
mana dia berkarya mengikut hati seninya. Jadi, kita belajar apa yang mampu
daripada beliau. Al-Fatihah,” katanya.
Terdahulu sebanyak 90 peratus jalan cerita dan dialog
Mat Kilau telah diolah dan ditulis kembali oleh Syamsul dan Rizal Ashraf, malah
rombakan besar turut dilakukan bagi memenuhi keperluan pengkisahan.
Ditayangkan sejak 23 Jun lalu, filem terbitan Studio
Kembara Sdn Bhd yang menghidupkan watak pahlawan Mat Kilau Imam Rasu atau Mat
Kilau ini terus menjadi pilihan penonton.
Selain diterajui Datuk Adi Putra, ia turut menyaksikan
gabungan ramai pelakon hebat termasuk Beto Kusyairy, Khir Rahman, Fattah Amin
Johan As’ari (Yassin) dan aktor aksi handalan Indonesia, Yayan Ruhian sebagai
Toga.
Sumber: KOSMO!
ONLINE