Kenapa kos pembangunan semula Stadium Shah Alam menelan belanja sehingga RM787 juta, iaitu hampir sekali ganda dengan kos pembinaannya bernilai RM480 juta?
Kos
yang diumumkan Menteri Besar (MB) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari selepas
majlis menyampaikan Surat Niat (LOI) untuk pembangunan semula stadium itu
kepada Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) kelmarin menimbulkan
perdebatan dalam kalangan penyokong bola sepak.
Ada
yang menyatakan jumlah itu tidak wajar apabila membandingkan dengan kos
pembinaan Stadium Sultan Ibrahim milik pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang
hanya menelan kos dianggarkan sebanyak RM200 juta.
Pada
sidang media yang berlangsung kelmarin, Amirudin menjelaskan banyak elemen
perlu dititikberatkan dalam usaha membangunkan semula stadium keramat itu dan
ia tidaklah semudah untuk menggantikan mana-mana bahagian yang dirasakan perlu
diperbaiki.
"Untuk
menggantikan sahaja elemen tertentu, belum tentu secara keseluruhan kerana
bangunan yang seketul itu mempunyai jaringan sendiri. Strukturnya,
pendawaiannya, perpaipan jadi kalau tanya saya, kita lebih yakin untuk
bangunkan semula stadium itu.
"Stadium
lain tidak sebesar Stadium Shah Alam dan tidak berdepan beberapa situasi
seperti bencana banjir pada 2006, 2015 dan 2021. Banjir menyebabkan kerosakan
pada beberapa perkara seperti bilik persalinan, sistem pendawaian elektrik,
sistem bilik bekalan elektrik dan litar pintas yang tidak selamat untuk kita
teruskan.
"Kita
baikpulih lagi selepas banjir dan ia berlaku lagi. Ini membabitkan kos untuk
menaikkan platformnya supaya tidak lagi akan terkena banjir pada masa depan.
Sebab itulah kosnya jadi lebih kurang sehingga RM700 juta.
"Bukan
sahaja membabitkan platform stadium yang lebih tinggi tetapi juga untuk sistem
saliran yang lebih berkesan serta berkualiti. Untuk menggantikan sistem
pendawaiannya menerusi penilaian pada 2013 pun, ia menelan kos sebanyak RM30
juta.
"Satu
lagi perkara membabitkan polikarbonat (untuk bumbung). Ia dari luar negara dan
untuk menggantikan sekeping pun, minimum RM500 ke RM1000 kerana kos untuk
gunakan kren bagi menggantikannya seperti yang kita buat pada 2017.
"Kita
juga perlu mempertimbangkan mengenai isu perpaipan juga. Selepas 2013, kita
nilai angkanya adalah RM350 juta, jadi ini satu angka yang besar pada waktu itu
dan sekarang pun kos sudah meningkat.
"Kita
gunakan pertimbangan untuk bangunkan semula dan cuba berusaha ke arah itu namun
usaha itu terhenti pada 2019 kerana pandemik," katanya.
Difahamkan,
kos penyelenggaraan yang sudah dilaksanakan sejak 2013 menelan belanja sehingga
RM56 juta untuk memperbaiki dan menaiktaraf bagi memulihkan keadaan Stadium
Shah Alam daripada semasa ke semasa.
Amirudin
turut menjawab kebimbangan mengenai bebanan kewangan yang akan ditanggung
kerajaan negeri akibat daripada projek ini ketika rakyat menghadapi cabaran kos
sara hidup seperti inflasi.
"Projek
pembangunan in akan menjadi satu perkongsian awam-swasta dengan penyelesaian
menang-menang untuk semua. Di pihak kerajaan negeri, tiada dana awam yang akan
digunapakai untuk projek ini.
"Usaha
ini bukan sahaja berteraskan kelestarian kewangan tetapi juga kelestarian alam
sekitar kawasan ini. Kami juga menjangkakan kesan limpahan ekonomi yang amat
besar bukan sahaja di kawasan sekitarnya tetapi juga kepada negeri Selangor
secara keseluruhannya," katanya.
Sumber:
bharian