Kontraktor Tidak Sanggup Bina Rumah PPRT Harga RM55,000
PETALING JAYA: Tidak ada kontraktor yang sanggup
membina rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kecuali
harganya dinaikkan kepada RM67,000 sebuah.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri
Abdul Rahman Mohamad berkata, harga RM56,000 yang ditetapkan untuk membina satu
unit rumah PPRT ketika ini tidak mencukupi susulan kenaikan kos bahan binaan.
“Sebuah rumah PPRT sekarang ini memerlukan lebih kurang
RM67,000 sebuah untuk pelaksanaan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat,
semalam.
Sehubungan itu, kerajaan akan membuat garis panduan
baharu terhadap Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi memastikannya
dapat dilaksanakan tahun ini berikutan tiada kontraktor yang sanggup membina
rumah itu pada kadar semasa.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Salim
Sharif (BN-Jempol) yang ingin tahu sama ada kementerian berkenaan bercadang
meningkatkan peruntukan bagi memastikan sebuah rumah PPRT berharga RM56,000
dapat disiapkan ekoran kebimbangan mengenai kos pembinaan rumah PPRT sudah
sudah menjangkau hampir RM70,000.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihak
kementerian memperuntukkan RM360 juta untuk pembinaan PPRT di seluruh negara
iaitu RM178 juta untuk membina 2,503 buah rumah baharu dan RM182 juta bagi tujuan
membaik pulih 11,353 rumah.
“Kebimbangan saya adalah mengenai keupayaan kontraktor
kecil luar bandar untuk menyiapkan rumah pada harga tersebut. Kerajaan perlu
memberikan perhatian serius terhadap isu ini dengan mengambil kira kos bahan
binaan semasa supaya rumah yang disiapkan akan kekal berkualiti dan selamat
untuk diduduki,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata kementeriannya tidak
mempunyai ‘projek sakit’ di Sabah dan sentiasa mengadakan perbincangan dan
kerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan sebarang projek dilaksanakan
mengikut perancangan.
Sumber: UTUSAN
0 Response to "Kontraktor Tidak Sanggup Bina Rumah PPRT Harga RM55,000"