SAUDARA PENGARANG,
KERAJAAN boleh membuat pertimbangan untuk memansuhkan semua
jenis peperiksaan yang masih wujud seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),
Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia
(STAM).
Langkah ini sama seperti pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah
Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang digantikan dengan
pentaksiran berasaskan sekolah.
Kita tidak boleh lagi melaksanakan proses penilaian
berasaskan peperiksaan semata-mata kerana kaedah sedemikian memberi tekanan
mental dan emosi kepada pelajar.
Dengan pemansuhan sepenuhnya sistem berorientasikan
peperiksaan, ia dapat mengurangkan tekanan dalam kalangan ibu bapa dan penjaga
kerana mereka tidak perlu lagi pening kepala untuk memastikan anak-anak
mendapat markah yang tinggi atau A.
Ibu bapa dan penjaga juga tidak perlu lagi bersusah payah
melakukan perbandingan kejayaan anak-anak mereka dengan kanak-kanak lain.
Pemansuhan semua jenis peperiksaan adalah selaras dengan
perubahan zaman. Terdapat banyak aspek kemahiran baharu yang perlu dikuasai
pelajar kita selain dari aspek teori dan hafalan semata-mata.
Ini seperti kemahiran untuk berfikir aras tinggi,
berkomunikasi dengan berani dan penuh keyakinan serta penggunaan pelbagai jenis
aplikasi berasaskan teknologi terbaharu.
Sesuai dengan perkembangan zaman, proses penilaian juga
harus berubah supaya kita benar-benar dapat menilai tahap prestasi pelajar kita
meliputi segala aspek termasuk kemahiran dalam kehidupan.
Pemansuhan sistem berasaskan peperiksaan juga penting supaya
kita tidak melahirkan pelajar yang ketagih untuk mendapatkan A dalam semua
subjek yang dipelajari pada sepanjang masa.
Langkah itu dapat mengelak perbandingan dilakukan antara
seorang pelajar dengan pelajar yang lain melalui keputusan peperiksaan atau
jumlah A yang mereka peroleh.
Dengan tiadanya peperiksaan ini, para pelajar yang tidak
menunjukkan prestasi baik dari sudut akademik tidak akan tertekan dan merasakan
diri mereka tidak berjaya dalam kehidupan.
Dalam pada itu, sudah sampai masanya rakyat Malaysia
mengubah minda mereka bahawa kejayaan mendapat A dalam peperiksaan tidak
bermakna seseorang itu akan berjaya dalam kehidupan. Mereka yang gagal mendapat
sebarang A pun boleh berjaya dalam hidup.
Terdapat banyak individu yang berjaya di dalam dunia ini
termasuk di Malaysia sedangkan mereka tidak mendapat sebarang A dalam
peperiksaan ketika zaman persekolahan dahulu.
Ini sebagai peringatan kepada kita untuk tidak menilai
prestasi seseorang itu hanya berdasarkan keputusan peperiksaan sahaja.
Oleh yang demikian, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu
mengambil langkah berani dan drastik bagi memansuhkan sepenuhnya semua jenis
peperiksaan yang ada dalam sistem pendidikan negara pada ketika ini.
KPM boleh menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji
cadangan ini dengan lebih terperinci lagi. Jawatankuasa khas ini perlu
dianggotai pakar pendidikan, guru dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
yang berkaitan.
Kita juga boleh mengadakan proses pungutan suara dalam
kalangan pelajar sekolah sendiri terhadap cadangan yang dikemukakan ini.
Apa-apa keputusan yang hendak diambil kelak hendaklah
mengambil kira suara pelajar kita kerana mereka yang akan menerima kesan
daripada sebarang tindakan yang hendak dilaksanakan.
Sumber: UTUSAN