Adakah
'kisah dongeng' Ng Tze Yong di Terbuka Singapura mampu diteruskan pada aksi
suku akhir esok?
Persoalan
itu akan terjawab apabila pemain perseorangan lelaki negara itu membuat
perhitungan dengan pemain nombor enam dunia dari Indonesia, Anthony Sinisuka
Ginting bagi merebut tiket ke separuh akhir.
Terdahulu,
pemain berusia 22 tahun berkenaan meneruskan 'kisah dongengnya' selepas sekali
lagi menewaskan pemain ranking lebih tinggi dengan menjadikan wakil Hong Kong,
Lee Cheuk Yiu yang berada di kedudukan ke-15 dunia sebagai mangsa terbarunya
menerusi kemenangan 21-15, 21-13 dalam aksi pusingan kedua di Stadium Tertutup
Singapura, hari ini.
Semalam,
Tze Yong yang berada di kedudukan ke-47 dunia, turut cemerlang apabila
menumbangkan pemain nombor satu Hong Kong, Ng Ka Long 21-16, 21-17 di pusingan
pertama.
Ginting
yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 mara ke suku akhir
selepas menundukkan pemain Taiwan, Li Chun Yi 21-12, 19-21, 21-16.
"Saya
bermain dengan lebih baik berbanding perlawanan semalam. Untuk perlawanan suku
akhir, saya tidak mahu terlalu banyak fikir kerana apa saya mahu fokus buat
persiapan untuk diri saya dan akan berjuang habis-habisan dalam perlawanan
nanti," kata Tze Yong.
Sebagai
rekod, ia akan menjadi perlawanan pertama Tze Yong menentang Ginting dengan
wakil negara itu tampil dengan status 'underdog'.
Pertarungan
dengan Ginting turut dianggap persiapan terbaik buat Tze Yong akan menggalas
cabaran negara di Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang bermula 28 Julai hingga 8
Ogos ini.
Sementara
itu, beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei turut melakar kejutan
apabila menewaskan pilihan kelapan dari Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra
Boje 21-11, 21-19 untuk melangkah ke suku akhir dan akan bertemu pasangan China,
Guo Xin Wa-Zhang Shu Xian bagi perebutan tempat ke separuh akhir.
Turut
mara dua lagi beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Chen
Tang Jie-Valeree Siow selepas menewaskan lawan masing-masing.
Soon
Huat-Shevon yang muncul juara pada 2018 mara selepas mengatasi gandingan
Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari 10-21, 21-18, 21-10 dan
dijadual bertemu Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong manakala Tang
Jie-Valeree menang ke atas Lee Chun Hei-Ng Tsz Yau dari Hong Kong 21-13, 21-7
dan akan berdepan pilihan pertama dari Thailand, Dechapol
Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.
Nasib
bagaimanapun tidak menyebelahi empat beregu lelaki negara iaitu Nur Izzuddin
Rumsani-Goh Sze Fei, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, Goh V Shem-Low Juan Shen dan Wan
Arif Wan Junaidi-Mohd Haikal Nazri selain beregu campuran, Chan Peng Soon-Cheah
Yee See apabila terkandas di pusingan kedua selepas tewas di tangan lawan
masing-masing.
Sumber:
bharian