Khabar angin Pan-gon kembali ke Korea Selatan bertiup
kencang. Adakah skuad Harimau Malaya akan beraksi di kampung halaman Kim
Pan-gon pada saingan Piala Asia tahun depan?
Itu antara gambaran kemungkinan Pan-gon akan pulang ke
kampung halamannya jika Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memilih Korea Selatan
sebagai tuan rumah Piala Asia itu pertengahan tahun depan.
Ia susulan pengumuman AFC hari ini yang mengesahkan hanya
empat negara menghantar permohonan rasmi untuk membida hak sebagai tuan rumah
selepas China menarik diri kerana peningkatan kes Covid-19.
Empat negara terbabit ialah Korea Selatan, Qatar, Australia
dan Indonesia.
Berdasarkan kemudahan dan fasiliti yang terdapat di empat
negara terbabit, Korea Selatan dan Qatar disebut-sebut sebagai calon terbaik
untuk menganjurkan kejohanan itu.
Malah, jika dikecilkan lagi skop pemilihan, Korea Selatan
dianggap pilihan utama kerana negara itu sudah lama tidak menganjurkan Piala
Asia dengan kali terakhir diadakan di negara itu pada 1960.
Berbanding Qatar dan Australia, kedua-dua negara itu baharu
saja menganjurkan Piala Asia masing-masing pada 2011 dan 2015, malah Emiriah
Arab Bersatu (UAE) yang mewakili Asia Barat adalah tuan rumah edisi 2019 lalu.
Lantas, sudah tiba masanya kemungkinan saingan berprestij
itu kembali ke Asia Timur dengan Korea Selatan dipilih kali ini.
Menurut kenyataan rasmi AFC, negara yang dipilih sebagai
tuan rumah kejohanan membabitkan 24 pasukan itu akan diumumkan secara rasmi
pada 17 Oktober ini oleh Jawatankuasa Eksekutif AFC.
Malaysia bakal membuat penampilan keempat di Piala Asia
selepas muncul lima naib juara terbaik pada pusingan ketiga Kelayakan Piala
Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil bulan lalu.
Kali pertama skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia adalah
pada 1976 di Iran, sebelum sekali lagi layak secara merit di Kuwait pada 1980.
Pada 2017 pula, Malaysia layak atas tiket tuan rumah bersama
tiga lagi negara Asean iaitu Thailand, Vietnam dan Indonesia.
Sumber: inforakyat.net