PASIR GUDANG - Kerajaan wajar menaikkan elaun bulanan
veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen daripada RM300 kepada
RM500 memandangkan kos sara hidup kini sudah meningkat.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata,
elaun yang diterima mereka ketika ini kecil sedangkan harga barang keperluan
harian sudah naik selain ramai sudah tidak bekerja lagi.
Menurutnya, terdapat kira-kira 200,000 veteran ATM tidak
berpencen di seluruh negara dan rata-ratanya merupakan warga emas.
"Pesara atau veteran tidak berpencen ini telah
berkhidmat pada tahun 60-an, 70-an dan 80-an pada zaman Malaysia menghadapi
ancaman bersenjata dari Parti Komunis Malaya.
"Rata-rata veteran ATM tidak berpencen ini sekarang
berumur lebih 60 tahun. Kebanyakannya menghadapi masalah kewangan dalam
kehidupan dan masalah kesihatan. Bantuan kebajikan daripada kerajaan amat
diharapkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bertemu
dengan anggota Persatuan Veteran ATM Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM)
Cawangan Pasir Gudang di Taman Desa Perwira di sini pada Sabtu.
Hassan (duduk depan, tengah) bersama-sama pesara ATM selepas
bertemu anggota PVATTBM Cawangan Pasir Gudang di Taman Desa Perwira, Pasir
Gudang, pada Sabtu.
Hassan berkata, ketika ini Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM
hanya memberi elaun kos sara hidup secara berpilih dan amat terhad kepada
mereka yang dikategorikan sebagai amat daif dan miskin.
Katanya, kerajaan harus mendengar keluhan mereka sekali gus
mengenang sumbangan serta jasa besar golongan itu terhadap negara.
"Kerana itu adalah tanggungjawab kerajaan yang berkuasa
sekarang untuk menolong golongan veteran tersebut yang kebanyakannya hidup
dalam keadaan susah," katanya.
Menurutnya, terdapat 100 veteran ATM tidak berpencen di
Pasir Gudang dan mereka juga memohon kerajaan menaikkan elaun yang diterima
secara automatik.
Sumber: sinarharian