SEPANG:
Lebih 400 jemaah Haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
(KLIA) ekoran tidak dapat berlepas ke Jeddah, Arab Saudi pada malam Khamis.
Pemerhatian
Astro AWANI di KLIA mendapati rata-rata jemaah haji dilihat keletihan menunggu
penerbangan dan visa perlepasan untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu.
Menurut
salah seorang jemaah haji dari Kelantan, Marina Abu Zahar, 52, kesemua mereka
berdaftar dengan sebuah syarikat agensi pelancongan swasta bagi visa furada.
"Kami
menunggu daripada jam 12.00 tengah hari selepas taklimat terakhir pada malam
tadi mengatakan kita akan terbang pada 4.25 petang (Khamis).
"Kita
berkumpul dari jam 12.00 tengah hari, dia delayed (tunda) kepada jam 7.00
malam. Sebab keadaan agak tegang, jadi kita cuba bertanya, tapi jawapannya
sabar dan sabar.
"Memang
kita boleh sabar lagi, kami duduk dalam empat hingga lima hari di sekitar KLIA
ini, kejap hotel sana kejap hotel sini, duit pun dah banyak habis," jelasnya
ketika ditemui.
Marina
menambah, beliau sebak dengan keadaan menimpanya dan jemaah yang lain.
"Ini
pertama kali untuk mengerjakan haji, saya teruja, tapi bila benda itu dah
terjadi kami reda... cuma cara yang berlaku itu kami kesal.
"Pergerakan
kami diperkotak katikan, masa kami dipermainkan, dalam kalangan kami bukan
semua yang senang, visa furada haji perlu duit yang banyak, tapi saya rasa ada
yang kumpul duit seumur hidup," jelasnya lagi.
Difahamkan
ada dalam kalangan jemaah tiba di Kuala Lumpur sejak 28 Jun lalu, namun
penerbangan ditangguhkan atas alasan tertentu.
Tambah
Marina, pasportnya dan jemaah lain masih lagi dipegang oleh syarikat agensi
pelancongan berkenaan.
Malah
ada di antara jemaah dikatakan telah membuat laporan polis di KLIA pada Khamis
berhubung kejadian itu.
"Kami
reda, memang tahu dah, last flight (penerbangan terakhir) jam 2.00 pagi ini
tidak mungkin kita sampai ke Jeddah dan boleh masuk, memang mustahil, setakat
ini sahaja kami.
"Saya
cuma nak beritahu kepada 'Tan Sri' itu tadi, tolong lah sedar... jangan
permainkan agama, jangan perkotak katikkan perasaan orang nak pergi haji.
"Bukan
senang orang nak lalui benda ini, kami faham mungkin nama kami tidak dipanggil
Allah, kami reda. Tolong jangan buat macam ni, terutama kepada orang kampung
yang susah payah," tegasnya lagi.
Turut
berlaku kekecohan di luar KLIA apabila salah seorang agensi pelancongan
dikerumuni jemaah yang inginkan penjelasan mengenai keadaan sebenar.
Bagaimanapun,
selepas beberapa minit penjelasan diberikan, individu terbabit dilihat dibawa
masuk oleh Polis Bantuan KLIA.
Sumber: astroawani