Pemain sayap pasukan Terengganu FC, Faiz Nasir kini
kembali menjadi sandaran buat pasukan apabila berjaya meledak dalam beberapa
perlawanan terakhir.
Faiz sudah pun beberapa kali turun dalam kesebelasan
utama pasukan mempamerkan kualiti yang tersendiri untuk merencanakan serangan
buat Terengganu.
Malah, kelincahan pemain bertubuh kecil ini nyata sukar
dikawal oleh barisan pertahanan lawan apabila beliau seringkali menjadi ancaman
utama buat mereka.
Dalam 4 perlawanan terakhir, bekas pemain sayap
kebangsaan ini sudah pun meledak dua gol penting yang membantu pasukan untuk
mencatatkan kemenangan berharga.
Ketika menentang Kedah Darul Aman dalam perlawanan
Piala FA tempoh hari, pemain berusia 30 tahun ini menjaringkan gol tunggal
perlawanan untuk membawa pasukan melangkah ke suku akhir.
Faiz sekali lagi membuktikan kemampuan sebenar beliau
apabila meledak gol ketika anak didik Nafuzi Zain berjaya membelasah pasukan
Kuching City FC untuk melangkah ke peringkat separuh akhir Piala FA.
Gandingan berbisa bersama Kpah Sherman dan juga Faisal
Halim jelas menjadi nadi utama pasukan ketika ini apabila mencatatkan 4
kemenangan dalam 5 perlawanan terakhir.
Sebelum ini, Faiz lebih banyak beraksi bersama pasukan
Terengganu II namun berjaya meraih semula tempat bersama skuad utama ketika
ini.
Konsistensi bekas pemain Selangor ini sudah pasti
memberikan lebih banyak pilihan buat jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon
untuk menguji muka-muka baharu bersama pasukan negara.
Pengendali kelahiran Korea Selatan ini bakal berdepan ujian seterusnya pada bulan
September apabila Malaysia akan mengadakan perlawanan persahabatan kalendar
FIFA.
Sumber: makanbola