Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia
(BAM) ,Rexy Mainaky menegaskan barisan pemain badminton negara sudah siap
sepenuhnya mengibarkan cabaran di Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Mereka sudah bersedia untuk cuba merealisasikan sasaran
meraih sekurang-kurangnya satu emas seperti disasarkan terutama dalam acara
beregu.
Rexy berkata, biar apapun halangan, semua pemain perlu
menghadapinya tidak kira dalam apa situasi.
"Sekarang ini semua dalam keadaan terbaik. Tekanan atau
tidak itu adalah perkara biasa. Pemain sudah siap.
"Saya nampak ada peningkatan daripada corak permainan
beregu negara dan mendapati ada penambahbaikkan dalam permainan mereka,"
katanya.
Dalam perkembangan sama, Rexy mengakui wujud kesilapan
ketika memberi maklum balas hubung alasan kepenatan yang menjadi punca kepada
kekalahan awal beregu kedua negara, Goh Sze Fei-NurIzzuddin Rumsani yang tewas
pada pusingan kedua Terbuka Singapura minggu lalu.
Gandingan ke-12 terbaik dunia itu tumpas kepada pasangan
bukan pilihan dari India M R Arjun-Dhruv Kapila, 18-21, 24-22, 21-18 dalam
saingan di Stadium Tertutup Singapura.
Jumaat lalu, Rexy menyifatkan alasan penat diberikan juara
Terbuka Jerman 2022 itu sebagai tidak munasabah kerana percaya mereka mendapat
rehat secukupnya selepas tersingkir di pusingan pertama Masters Malaysia kepada
pasangan Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, 14-21, 20-22, pada 5
Julai lalu.
Ia lebih kepada maklum balas yang diterima tidak tepat
ketika menjawab soalan media sehingga menimbulkan salah faham dan perdebatan di
media sosial.
Bagaimanapun, Rexy menegaskan perkara itu sudah diselesaikan
antara kedua-dua pihak dan semua permasalahan sudah terjawab.
"Saya sudah bertemu dengan mereka dan penat itu bukan
datang dari mulut mereka. Cuma salah faham antara jurulatih Tan Bin Shen ketika
ketika menyampaikan kepada saya. Itu hanya pandangan jurulatih.
"Sekarang ini semua sudah selesai. Saya sudah berbicara
dan mengerti antara satu sama lain dan percakapan yang timbul itu cuma salah
faham saja," katanya.
Isu kepenatan itu menjadi bualan hangat netizen apabila
Izzuddin dalam status yang dimuat naik di Instagramnya meluahkan rasa tidak
puas hati kepada media.
Malah tanda pagar #guaantimedia yang diletakkan dalam status
dimuat naik Izzuddin menjadi trending di laman sosial apabila dikatakan media
tidak menyampaikan maklumat tepat.
Sumber: harianmetro