Kuala
Lumpur: "Kami sendiri pun terkejut," itulah pengakuan beregu wanita
negara, Anna Cheong-Teoh Mei Xing selepas mengejutkan pilihan kelima dari
Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara, sekali gus melangkah ke suku akhir
Masters Malaysia.
Mereka
yang menduduki ranking ke-37 dunia mencatat kemenangan straight-set 21-11,
21-15 ke atas Mayu-Wakana pada aksi pusingan kedua di Axiata Arena, hari ini.
Kemenangan
itu ibarat membalas dendam selepas mereka tewas 15-21, 21-23 kepada juara dunia
dua kali itu di suku akhir Terbuka Malaysia, minggu lalu.
"Minggu
lalu kami kalah kerana mental kami tidak berapa kuat. Kali ini kami dapat tahan
tekanan dan mengutip banyak mata setiap kali mereka lakukan 'unforced error'.
"Ini
sesuatu yang sukar dipercayai. Sebenarnya kami terkejut kerana kami tak jangka
boleh menang," kata Anna selepas tamat perlawanan.
Ini
adalah kali kedua mereka menewaskan pasangan di kelompok lapan teratas dunia
selepas menang ke atas beregu nombor tiga dunia dari Korea Selatan, Lee So
Hee-Shin Seung Chan di pusingan kedua Terbuka Malaysia.
Di
suku akhir esok, mereka akan bertemu satu lagi wakil Korea Selatan iaitu Jeong
Na-eun-Kim Hye-jeong.
"Kami
tak letak harapan tinggi kerana tak pernah bertemu mereka. Ia akan jadi satu
perlawanan sukar kerana jurulatih mereka sudah mula melihat dan membaca
permainan kami.
"Namun,
mental kami sudah bersiap sedia bertemu sesiapa pun. Kami akan cuba berikan
yang terbaik walaupun peluang 50-50 di atas gelanggang esok," jelas Mei
Xing.
Sumber:
hmetro