JPJ beri amaran ambil semula ujian memandu jika tak ‘renew’
lesen sebelum tarikh ini. Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),
Datuk Zailani Hashim menyeru semua pemegang Lesen Memandu Malaysia (LLM) yang
lesennya tamat pada 13 Januari 2021 untuk memperbaharuinya sebelum 30 Jun ini
bagi mengelakkan mereka dari mengambil semula ujian memandu.
Katanya, tarikh tersebut melibatkan pemegang Lesen Belajar
Memandu (LDL), Lesen Memandu Percubaan (PDL), Lesen Memandu Kompeten (CDL)
serta Lesen Vokasional (PSV/GDL) yang melalui pengecualian di bawah Kaedah 19
Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Lesen Memandu) 1992.
Jelas beliau, pengecualian yang diberi oleh Menteri
Pengangkutan, Dr Wee Ka Siong pada 14 Oktober itu adalah berikutan daripada
Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 fasa pertama yang diumumkan oleh pihak Kerajaan
pada 1 Jun 2021.
Pemegang lesen perlu segera memperbaharui lesen mereka bagi
mengelakkan mereka dari mengambil semula ujian memandu seperti yang termaktub
di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah
Kenderaan Bermotor (Lesen Memandu) 1992.
Justeru, beliau mengingatkan agar pemilik kenderaan
memperbaharui lesen mereka sebelum Khamis ini bagi mengelakkan Lesen Kenderaan
Motor (LKM) mereka tamat tempoh bagi mengelakkan sebarang implikasi
undang-undang mengikut Seksyen 23(1) APJ 1987.