Kuala Lumpur: Sentuhan Argentina kemungkinan sekali
lagi bakal diterapkan dalam permainan skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila
dikhabarkan kedudukan Benjamin Mora sebagai pengendali pasukan, bakal berakhir..
Ia susulan beberapa masalah peribadi yang berlaku di
sebalik tabir sejurus tamatnya perlawanan Liga Super menentang Sabah FC pada 15
Julai lalu, menyaksikan Mora kemungkinan digantikan dengan jurulatih baru.
Malah, ketiadaan Mora dalam dua aksi sebelum ini
termasuk ketika menang ke atas Penang FC dan Melaka United dalam aksi suku
akhir Piala FA, seolah-olah mengesahkan kedudukan jurulatih berasal dari Mexico
itu.
Menurut sumber, pengganti Mora sudah berada di Johor
Bharu dan bakal diumumkan pada bila-bila masa oleh juara lapan kali
berturut-turut Liga Super itu.
Difahamkan, pelantikan itu perlu disegerakan bagi
membolehkan pemain JDT tampil lebih bersedia menjelang aksi Liga Juara-Juara
Asia (ACL) menentang Urawa Red dari Jepun pada peringkat 16 terbaik di Saitama,
19 Ogos ini.
Untuk rekod, sentuhan jurulatih dari Argentina sentiasa
membawa tuah buat JDT apabila pada 2015 ketika di bawah kendalian Mario Gomez,
skuad Harimau Selatan melakar sejarah apabila muncul kelab pertama dari
Malaysia dan Asia Tenggara menjuarai Piala AFC.
Malah, kehadiran dua lagi jurulatih dari Argentina
selepas itu Raul Longhi (2018) dan Luciano Figueroa (2018-2020) turut cemerlang
dengan menghadiahkan kejuaraan Liga Super dan beberapa trofi domestik lain.
Di bawah bimbingan Mora pula, JDT terus mendominasi
Liga Super sejak kali pertama memenanginya pada musim 2014 hingga tahun lalu
serta Piala Sumbangsih sebanyak dua kali pada 2021 dan 2022.
Selain itu, Mora turut memahat kejayaan apabila
membimbing JDT layak ke pusingan 16 terakhir ACL selepas tewaskan kelab Korea
Selatan, Ulsan Hyundai.
Sumber: Harian Metro