Kuala
Lumpur: Bayi yang baru lahir pada 2021 dijangka hidup hingga 75.6 tahun atau 12
tahun lebih lama berbanding lima dekad lalu, iaitu hingga 63.6 tahun pada 1970,
menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua
Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jangkaan hayat yang
meningkat menunjukkan Malaysia akan berhadapan dengan penuaan penduduk pada
2030, dengan peratus penduduk berumur 60 tahun dan ke atas telah mencapai 15.3
peratus daripada jumlah penduduk.
"Justeru
itu, persediaan kesihatan dan simpanan kewangan yang mencukupi perlu dibuat
bagi mengelak kesukaran hidup selepas persaraan," katanya dalam kenyataan
bersempena Hari Penduduk Sedunia 2022 yang disambut setiap 11 Julai.
Bagaimanapun
beliau berkata, pertambahan penduduk di Malaysia meningkat dengan kadar lebih
perlahan pada 2020 berbanding 3.6 peratus pada 1970, berikutan empat faktor
yang mempengaruhi iaitu kadar kesuburan, jangka hayat, struktur umur (agihan di
antara umur muda dan umur tua) serta migrasi.
"Kadar
Kesuburan Jumlah (TFR) bagi seorang wanita di Malaysia dalam tempoh reproduktif
telah menurun kepada 1.7 bayi pada 2020 berbanding 4.9 bayi pada 1970. TFR ini
merupakan yang terendah dalam tempoh lima dekad ini," katanya.
Mohd
Uzir berkata, dari segi perubahan taburan struktur umur, bagi tempoh 1970
hingga 2020, peratus kanak-kanak bawah umur 15 tahun (umur muda) menunjukkan
trend penurunan daripada 44.9 peratus pada 1970 kepada 24 peratus pada 2020.
"Trend
umur muda yang semakin menurun dan peningkatan umur tua yang semakin ketara
akan menjejaskan bilangan dan tanggungan untuk umur bekerja pada masa hadapan.
"Peratusan
penduduk umur bekerja 15 hingga 64 tahun menunjukkan peningkatan daripada 52.1
peratus pada 1970 kepada 69.3 peratus pada 2020 dan diunjurkan menurun secara
perlahan kepada 66.3 peratus daripada jumlah penduduk pada 2040," katanya.
Beliau
berkata, penduduk Malaysia diunjurkan kepada 41.5 juta orang menjelang 2040 dan
pertambahan penduduk akan merangsang peningkatan pengeluaran makanan dan
perubahan diet turut menjadi faktor yang mempengaruhi jaminan bekalan makanan.
Katanya,
antara cabaran yang harus ditangani pada masa kini adalah keseimbangan antara
keperluan jaminan bekalan makanan dan jumlah keluasan kawasan pertanian yang
terhad serta kesan daripada perubahan iklim.
Menurut
data DOSM, penduduk Malaysia mencecah 32.4 juta pada 2020 dengan penduduk
tertinggi di Selangor seramai tujuh juta manakala terendah di Labuan seramai
95,100 orang.
Mohd
Uzir turut memaklumkan DOSM akan menganjurkan Regional Training Workshop on
"Harnessing Opportunities Towards Resilient Future Through Census
Data" pada akhir bulan ini sebagai platform ideal kepada ahli statistik,
ahli ekonomi, Pejabat Statistik Kebangsaan (NSO) terpilih dan pegawai kerajaan
Malaysia untuk membincangkan isu berkaitan kependudukan dan demografi bersama
pakar antarabangsa.
Sumber:
hmetro