Pemandu lori warga asing bertindak memecut kenderaan secara
tiba-tiba dalam cubaan melarikan diri ketika pemeriksaan dalam Operasi Pemandu
Warga Asing (PEWA) di Pandan Indah, di sini, hari ini
Bagaimanapun, cubaan lelaki warga Indonesia berusia 30-an
itu gagal apabila lori terbabit dihalang oleh kenderaan anggota penguat kuasa
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang berada di lokasi.
Lelaki terbabit antara 36 warga asing yang ditahan dalam
operasi itu yang dijalankan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala
Lumpur membabitkan 54 pegawai bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari tadi.
Ketua Bahagian Penguat Kuasa JPJ Kuala Lumpur, Raja Nur
Syuhaidah Raja Azmi berkata, operasi itu dilakukan selepas risikan mendapati
ada pemandu warga asing dipercayai tidak mempunyai lesen memandu.
"Dalam operasi ini, sebanyak 79 notis saman dikeluarkan
atas pelbagai kesalahan.
"Ia termasuk tiada lesen memandu iaitu sebanyak 63
notis dan masing-masing lapan notis saman bagi kesalahan tiada lesen memandu
kelas perdagangan serta insurans tamat tempoh," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai
Op PEWA di sini, hari ini.
@mykhabar #pesananjpj #jpjmalaysia Minta Warga Malaysia Jangan Sewakan Kenderaan Kepada #wargaasing ♬ original sound - 🇲🇾 MY KHABAR
Raja Nur Syuhaidah berkata, pihaknya turut menyita 23
kenderaan membabitkan 18 motosikal, empat lori dan sebuah kereta dalam operasi
itu.
"Pihak JIM juga melakukan pemeriksaan terhadap 58 warga
asing dengan 36 daripada mereka berusia 21 hingga 60 tahun ditahan atas
pelbagai kesalahan.
"Ini termasuk kesalahan tiada dokumen peribadi (tujuh
kes); dokumen tamat tempoh (lima kes); salah guna pas (lapan kes) dan pemegang
kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa -Bangsa Bersatu (UNHCR) (16
kes)," katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan dilakukan pihaknya mendapati
kebanyakan kenderaan yang dipandu warga asing terbabit adalah milik warga
tempatan.
"Ada juga kenderaan berkenaan sudah diubah suai menjadi
motosikal 'roda tiga' bagi kegunaan berniaga makanan serta membawa barang
lusuh.
"Justeru, saya menasihatkan dan meminta kerjasama
kepada semua pemilik kenderaan supaya tidak membenarkan kenderaan persendirian
digunakan oleh warga asing.
"Sekiranya kesalahan itu dikesan, pemilik juga boleh
dikenakan tindakan dan kenderaan mereka boleh disita mengikut Seksyen 64(1)
Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak
mengubahsuai bentuk dan peralatan kenderaan seperti memasang 'side car' pada
kenderaan iaitu satu kesalahan mengikut Seksyen 6(1) akta sama.
"Bagi kenderaan yang tiada perlindungan insurans,
tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 90(1) akta sama," katanya.
Sumber: Hmetro