PETALING JAYA – Tindakan segelintir netizen yang bergurau
dapat membeli minyak masak dengan harga murah sedangkan ia sebenarnya minyak
untuk kegunaan upacara sembahyang bagi penganut bukan Islam, tidak sepatutnya
dijadikan jenaka.
Sehubungan itu, pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung
menasihati umat Islam supaya tidak menjadikan alat sembahyang penganut agama
lain sebagai bahan gurauan.
“Saya faham situasi sahabat-sahabat dengan kenaikan harga
barangan cuma saya ingin nasihati diri saya dan sahabat-sahabat yang beriman.
“Barangkali kita mahu bergurau tetapi Islam melarang kita
untuk menipu walaupun ketika bergurau. Tertera jelas ‘minyak untuk sembahyang
sahaja’ dan saya percaya admin page tersebut tahu membaca dengan baik,” katanya
pada hantaran Facebook hari ini.
Beliau turut memetik Nabi Muhammad bersabda iaitu ‘celakalah
bagi yang berbicara lantas berdusta hanya kerana ingin membuat suatu kaum
tertawa, celakalah dia, celakalah dia’.
“Nasihat kedua ialah kita tidak suka orang menghina Islam
atau menjadikan peralatan sinonim dengan Islam seperti songkok, kopiah,
telekung, sejadah dan sebagainya sebagai alat gurauan. Maka kita juga tidak
seharusnya menjadikan alat sembahyang penganut agama lain sebagai bahan gurauan
kita.
“Prinsip saya tetap sama tanpa mengira siapa pun. Yang benar
itu tetap benar dan yang salah itu tetap salah. Kita melihat prinsip bukan
melihat siapa yang melakukannya,” tegasnya.
Sumber: KOSMO! ONLINE