Putrajaya: Lebih RM70 bilion subsidi diberikan kepada
Keluarga Malaysia pada tahun ini bagi memastikan rakyat tidak terkesan dengan
situasi inflasi di negara ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa
berkata, sidang Parlimen pada tahun lalu, jumlah subsidi diluluskan sebanyak
RM33 bilion namun dengan kenaikan pelbagai barangan, Kementerian Kewangan
mengunjurkan keperluan sebenar pada tahun ini mencecah lebih RM70 billion.
Malah Annuar berkata kadar inflasi di negara ini masih
rendah iaitu 2.8 peratus jika dibandingkan dengan negara lain yang kini sudah
mencecah dua digit.
"Ia disebabkan komitmen kerajaan yang menggunakan
pendekatan mengawal kenaikan harga barang keperluan dengan membayar subsidi.
"Sidang Parlimen pada tahun lalu meluluskan anggaran
pelbagai bentuk subsidi sebanyak RM33 bilion. Berdasarkan kenaikan pelbagai
barangan, Kementerian Kewangan mengunjurkan keperluan sebenar pada tahun ini
mencecah lebih RM70 bilion.
"Ini bermakna kerajaan terus memberikan subsidi kepada
barangan tertentu bagi memastikan rakyat tidak terlalu terkesan dengan suasana
inflasi yang sedang berlaku dan mengekalkan pada tahap inflasi terendah,"
katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Khas Jihad
Tangani Inflasi, semalam.
Annuar berkata, mesyuarat Jemaah Menteri sudah berbincang
secara terperinci dan beri perhatian serius kepada impak yang dihadapi oleh
rakyat berikutan kenaikan harga barangan, kos sara hidup dan selanjutnya
memberi kesan inflasi.
"Dalam keadaan sebegini, kita bersyukur Malaysia
mempunyai kadar inflasi antara yang paling rendah dalam kalangan ASEAN dan
negara maju. Ramai tidak menyedari keadaan ini adalah disebabkan komitmen
kerajaan menggunakan pendekatan mengawal kenaikan harga barang keperluan dengan
cara kerajaan membayar subsidi.
"Jadi penubuhan jawatankuasa ini adalah tanda komitmen
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memastikan kadar inflasi
kekal rendah dan pendekatan memberi subsidi pada barangan tertentu akan
dikekalkan dan membuat bayaran yang lebih tinggi," katanya.
Mengulas mengenai jawatankuasa berkenaan, Annuar berkata ia
tidak terhad kepada ahli yang sudah disenaraikan sahaja, tetapi menteri
daripada kementerian lain turut akan diundang untuk menyertai jawatankuasa
berkenaan sekiranya isu yang ingin dibincangkan terkait rapat dengan pihak
berkaitan.
"Beberapa agensi sudah diputuskan untuk menyertai
jawatankuasa ini termasuklah Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia
(PDRM) dan kumpulan pakar rujuk yang mempunyai kemahiran serta pandangan dan
nasihat menegnai langkah-langkah yang boleh diambil," katanya.
Memperincikan mengenai mesyuarat yang diadakan itu, ahli
pada sidang itu turut membincangkan mengenai isu subsidi ayam dan telur yang
diumumkan baru-baru ini.
"Kita nak tegaskan bahawasanya kerajaan sangat
memahami, sekiranya harga ayam diapungkan, tinjauan yang dibuat mendapati harga
sekilogram ayam itu boleh mencapai sehingga RM11. Malah ia dikukuhkan dengan
tinjauan harga di negara sekitar.
"Maka Perdana Menteri tidak mahu ia berlaku kepada
Keluarga Malaysia dan membuat ketetapan supaya harganya dikawal. Sebanyak RM330
juta perbelanjaan bagi memastikan semua pihak dalam industri ayam diberi
perhatian yang sewajarnya.
"Tidak seharusnya ada lagi pemberitaan tidak benar dan
tidak tepat yang menimbulkan keresahan orang ramai," katanya.
Tambahnya, kerajaan turut memberi jaminan bahawa bekalan
ayam dalam negara ini lebih daripada mencukupi dan pemberian subsidi untuk
bekalan ayam dapat diberikan bermula esok.
"Proses pemberian subsidi di peringkat yang sudah
ditentukan juga kini dipermudahkan dan mulai esok bekalan ayam berkenaan dapat
disampaikan kepada rakyat.
Sumber: hmetro