KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan agar
berhati-hati dengan pembelian kotak TV penstriman yang tidak sah agar tidak
teraniaya dari sudut undang-undang.
Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad
Idzham Jaafar mengulas berhubung penggunaan kotak TV haram yang menyiarkan
siaran tanpa kebenaran sekali gus melanggar Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022.
Tegasnya, tawaran dengan harga yang lebih murah oleh
pihak tertentu dalam memasarkan kotak TV haram di pasaran terbuka, sering kali
menjadi 'umpan' buat pengguna.
Namun natijahnya, pengguna tidak sedar bahawa mereka
telah melakukan kesalahan dan boleh dikenakan tindakan..
"Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 yang telah
diterbitkan dalam Warta Kerajaan pada 10 Februari 2022 dan telah mula
dikuatkuasakan mulai 17 Mac tahun ini.
"Pindaan ini telah membawa beberapa perubahan
terhadap Akta Hak Cipta, 1987 yang bertujuan untuk menguatkuasakan
undang-undang terhadap pelanggaran hak cipta menerusi teknologi penstriman.
"Polis Daerah Cheras bersama Jabatan Keselamatan
Astro telah mengadakan program kesedaran tentang akta ini di beberapa lokasi di
sekitar Cheras pada 26 Julai 2022 semalam," jelasnya.
Sepanjang kempen berkenaan jelasnya, didapati banyak
premis masih tidak mengetahui akan kesalahan yang mereka lakukan.
Namun ketika ini, amaran telah diberikan agar kegiatan
itu dihentikan serta merta.
"Kempen ini bertujuan untuk memberi kesedaran
kepada premis perniagaan dan individu yang menayangkan siaran hiburan menggunakan
perkhidmatan berbayar seperti Astro dan lain-lain penyedia perkhidmatan secara
tidak sah adalah suatu kesalahan.
"Kami menasihatkan agar masyarakat untuk
menghentikan penggunaan peranti penstriman yang tidak dibenarkan dan memastikan
mereka memperoleh langganan bersesuaian serta menggunakan perkhidmatan hiburan
yang sah di premis mereka kerana penstriman haram adalah suatu kesalahan,"
katanya.
Turut dikesan, tindakan segelintir premis melakukan
kesalahan melanggar kontrak penyiaran dengan menggunakan kotak TV siaran di
rumah bagi tujuan komersial.
Jika tertangkap, ujar Muhammad Idzham, pemilik kotak TV
berkenaan boleh dikenakan tindakan denda sehingga RM200,000 atau penjara
sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan di bawah Seksyen
43A Akta Hak Cipta.
"Pengarah syarikat juga boleh bertanggungjawab
secara peribadi jika syarikat mereka terbabit dalam aktiviti yang dilarang
seperti penstriman haram.
"Penstriman ini juga salah satu jenayah scam yang
kami (PDRM) tengah promosi kempen kesedaran kepada masyarakat.
"Penstriman ini kalau jenayah scam keuntungan
kepada satu pihak sahaja, tetapi kalau penstriman sekarang yang berleluasa ini,
mangsa akan lebih teraniaya (kerana melakukan kesalahan tanpa sedar),"
katanya lagi.
Kesan kepada ekonomi negara
Mengulas lanjut tambah Ketua Polis Daerah Cheras itu,
tindakan individu mahupun premis menggunakan kotak TV haram membawa kesan yang
besar kepada negara.
Lebih lagi apabila kerajaan kehilangan hasil cukai
daripada sesebuah syarikat penyiaran apabila terpaksa menanggung kerugian
gara-gara siaran mereka dicetak rompak oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Jadi apa-apa tindakan aktiviti haram ini,
terutama kesan terhadap cukai kerajaan, apabila pendapatan satu syarikat
seperti Astro ini berkurangan.
"Jadi hasil kerajaan juga berkurangan, maksudnya
di sini kita sama-sama membantu ekonomi negara cuba kita elakkan apa-apa
perkhidmatan tidak disahkan undang undang.
"Saya ingin mengambil kesempatan disini, untuk
mengingatkan semua masyarakat dibawah IPD Cheras supaya cuba menghentikan dan
mengelakkan terutama penstriman tidak sah," tegasnya lagi.
Dalam pada itu jelas Muhammad Idzham, pihak polis akan
terus menjalankan kempen kesedaran itu secara berkala di sekitar Cheras.
Sumber: astroawani