SKUAD
Harimau Muda bawah 19 (B-19) mengesahkan slot ke separuh akhir Kejuaraan Bawah
19 Tahun (B-19) Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) selepas menewaskan Timor
Leste 4-3, malam ini.
Saingan
Kumpulan B di Stadium Madya, Jakarta, itu menyaksikan skuad muda kebangsaan
memperoleh gol pendahuluan hasil penyudah Muhammad Najmudin Akmal Kamal Akmal
menerusi sepakan percuma seawal minit kesembilan.
Bagimanapun,
pasukan lawan yang diberi jolokan ‘The Raising Sun’ berjaya menyamakan
kedudukan pada minit ke-11 menerusi ketua pasukan Cristevao Moniz Fernandes
sebelum Adam Farhan Mohd Faizal mencetak jaringan kedua negara selang empat
minit kemudian.
Bersambung
babak kedua, skuad kendalian Hassan Sazali Mohd Waras berjaya menambah jaringan
ketiga menerusi Muhammad Alif Izwan Yuslan pada minit ke-52, namun skuad Timor
Leste jagaan Lee Min Young turut menyumbat gol keduanya hasil jaringan Mario
Donasio Quintao dua minit kemudian.
Pada
minit ke-63, Adam Farhan sekali lagi meledak gol keempat negara sebelum Mario
Donasio tampil membuat gerakan cantik membuahkan hasil jaringan ketiga pada
minit ke-76 dan keputusan kekal 3-4 sehingga wisel penamat.
Kemenangan
tersebut menyaksikan juara 2018, Malaysia, berada di kedudukan kedua Kumpulan B
dengan tujuh mata selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Kemboja pada aksi
sulung 5 Julai lalu dan mengikat Singapura tanpa jaringan pada Jumaat.
Sementara
itu, mengulas mengenai perlawanan itu, Hassan Sazali berkata, meskipun corak
permainan skuad kebangsaan kelihatan positif namun beliau bimbang terhadap
barisan pertahanan yang dilihat lemah dalam perlawanan malam ini.
Jelasnya,
prestasi skuad muda negara itu bagaimanapun kelihatan meningkat berbanding
ketika menentang Singapura pada perlawanan lepas.
"Apa
yang merisaukan saya ialah barisan pertahanan, walaupun kita telah menjaringkan
gol tapi kita juga bolos dengan cepat.
"Saya
lebih memikirkan kadar rehat pemain saya...Saya tidak mencari kemenangan
sehingga memaksa pemain,” katanya menerusi klip audio yang dikongsikan kepada
media.
Dalam
pada itu, Laos kekal di kedudukan teratas dengan sembilan mata walaupun kurang
satu aksi, manakala Kemboja dan Timor Leste berkongsi tiga mata, masing-masing
menduduki tempat ketiga dan keempat, diikuti Singapura di tempat tercorot
dengan satu mata.
Harimau
Muda bakal menamatkan saingan peringkat kumpulan menentang Laos dalam satu lagi
aksi jam 4 petang (Malaysia) pada Isnin bagi menentukan juara kumpulan sebelum
ke peringkat separuh akhir untuk bertemu sama ada Thailand atau Vietnam pada 13
Julai ini.
Sumber:
Bernama