KUALA
LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal tinggi pada separuh
kedua tahun ini berikutan kebimbangan terhadap bekalan dan tinjauan permintaan
yang bertambah baik, demikian menurut MIDF Research.
Firma
penyelidikan itu berkata, harga komoditi berkenaan akan disokong oleh harga
minyak boleh dimasak lebih tinggi disebabkan oleh kebimbangan bekalan di
tengah-tengah perang berpanjangan Russia-Ukraine, yang mengganggu bekalan
minyak bunga matahari.
Turut
menyokong kenaikan harga adalah tinjauan pengeluaran yang lemah bagi kacang
soya pada 2022/2023 berikutan kembalinya La Nina bagi tahun ketiga
berturut-turut di Amerika Selatan, ditambah kawasan penanaman lebih rendah di
Amerika Syarikat (AS), selain tinjauan permintaan lebih baik disokong
peningkatan aktiviti ekonomi, katanya dalam satu nota.
"Di
sebalik tinjauan positif kami terhadap sektor ini, kami menjangkakan harga MSM
akan turun pada separuh kedua 2022 namun pada kadar yang berperingkat disebabkan
kebimbangan terhadap tekanan inflasi global selepas mencatatkan harga lebih
tinggi daripada jangkaan pada separuh pertama tahun ini.
"Sehubungan
itu, kami mengekalkan unjuran harga MSM bagi 2022 pada RM5,500 satu tan buat
masa ini," katanya.
Sejajar
dengan ini, MIDF Research mengesahkan lagi pendirian 'positif' ke atas sektor
perladangan.
Risiko
utama terhadap harga MSM termasuk kemunculan semula varian baharu COVID-19 yang
menyebabkan satu lagi pusingan sekatan pergerakan di seluruh dunia, stok
melebih jangkaan, bekalan kacang soya dan minyak kacang soya, selain perubahan
dasar di negara-negara pengimport, katanya.
Sementara
itu, Kenanga Research memberikan penarafan 'overweight' ke atas sektor
perladangan, dengan berkata satu lagi perolehan yang baik boleh dijangka bagi
musim keputusan kewangan April-Jun 2022 akan datang.
"Selepas
itu, perolehan lebih rendah berkemungkinan berlaku namun (akan) kekal kukuh
dengan jangkaan harga MSM pada RM4,500 satu tan bagi 2022 dan RM4,000 satu tan
bagi 2023.
"Dengan
kos pengeluaran antara RM2,000 dan RM2,500 satu tan, margin bagi sektor ini
masih lagi menarik," katanya dalam satu nota.
Menurut
firma penyelidikan itu, daya tarikan sektor perladangan tidak lagi mengenai
pemulihan perolehan, namun daya tahan perolehan, khususnya apabila inflasi dan
kebimbangan terhadap kelemahan ekonomi membelenggu pasaran.
"Pertamanya,
perolehan perladangan dijangka kekal kukuh berikutan permintaan yang berdaya
tahan bagi sawit. Aset nyata bersih yang bersifat bertahan bagi sektor ini
adalah satu lagi daya tarikan dan penilaiannya juga tidak berlebihan, terutama
selepas penjualan besar-besaran dalam pasaran baru-baru ini.
"Bagaimanapun,
dengan harga MSM berkemungkinan kekal tinggi sehingga 2023, margin yang kukuh
boleh dijangka di sebalik kenaikan kos. Kami menaik taraf sektor ini daripada
'neutral' kepada 'outperform' kira-kira sebulan lalu, pandangan yang dikekalkan
(buat masa ini)," katanya.
Sumber:
BERNAMA