Harga sawit jatuh mendadak lagi. Penurunan drastik harga
minyak sawit mentah (MSM) hampir 30 peratus bulan ini dijangka menjejaskan
perniagaan pengeluar sawit.
Penganalisis Maybank IB, Ong Chee Ting, berkata pengeluar
akan terjejas memandangkan terdapat kemungkinan peningkatan risiko kemungkiran
atau kegagalan membuat pembayaran dalam kalangan pembeli yang mahu menangguhkan
penghantaran minyak sawit, memandangkan mereka telah mengunci harga yang tinggi
lebih awal.
Namun, katanya, secara positif, purata harga jualan (ASP)
bagi MSM pada masa ini masih lagi melebihi purata kos operasi pengeluaran
industri.
“Purata kos operasi pengeluaran industri untuk tahun
kewangan 2022 dianggarkan pada paras kurang RM2,500 satu tan.
“Namun, situasi di Indonesia membimbangkan (walaupun
sementara) memandangkan ASP bersih domestik MSM disebut harga pada 8,000 rupiah
sekilogram atau RM2,374 satu tan pada 24 Jun,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Harga MSM menunjukkan arah aliran penurunan bermula 7 Jun
lalu iaitu daripada RM6,753.50 satu tan kepada RM5,046.00 satu tan pada 22 Jun
2022 atau penurunan sebanyak 25.3 peratus dalam tempoh hanya kira-kira dua
minggu.
Harga hadapan MSM satu bulan susut 16 peratus dari minggu ke
minggu kepada RM4,798 satu tan pada Jumaat lalu, atau penurunan 27 peratus bagi
bulan ini setakat 24 Jun 2022, yang mana ia menghapuskan hampir keseluruhan
peningkatan bagi tahun ini.
Harga hadapan MSM satu bulan juga menyusut 41 peratus sejak
mencecah paras tertinggi RM8,163 satu tan pada 1 Mac 2022.
Chee Ting berkata, secara positif, jurang harga antara MSM
dan minyak sayuran lain iaitu minyak kacang soya dan minyak biji sesawi kekal
meluas, yang mana ia memberi sedikit sokongan kepada harga MSM.
Beliau berkata berkata, walaupun harga MSM adalah menarik,
penurunan mendadak harga komoditi itu baru-baru ini boleh mengganggu perniagaan
kerana pembeli mungkin mengamalkan sikap tunggu dan lihat, dengan harapan untuk
mendapatkan keuntungan harga yang lebih rendah memandangkan stok semasa di
Indonesia ‘melimpah’.
“Situasi di Indonesia nampaknya teruk jika dilihat dari
kemerosotan mendadak harga MSM domestik (negara itu) yang mencecah rekod
terendah dua tahun.
“Harga terakhir disebut ialah RM2,374 satu tan (penurunan 14
peratus dari tahun ke tahun), 40 peratus di bawah harga pada permulaan tahun
ini di Indonesia dan pada kira-kira RM2,421 satu tan diskaun kepada harga MSM
Malaysia.
“Namun, kami jangka keadaan itu adalah sementara memandangkan
harga domestik sepatutnya pulih dengan cepat sebaik saja stok simpanan
Indonesia kembali normal,” katanya.
Sumber: gemikangdaily