Harga
minyak sawit mentah (MSM) dijangka berada pada purata RM5,300 satu tan pada
separuh kedua 2022, lebih rendah berbanding tempoh separuh pertama.
Ini
adalah disebabkan jangkaan bekalan minyak sayuran global yang lebih tinggi,
pengeluaran MSM yang kian meningkat pada suku ketiga, serta eksport minyak
sawit yang rendah, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Menurut
agensi itu, keputusan Indonesia untuk melonggarkan peraturan eksportnya bagi
menggalakkan penghantaran dan mengurangkan inventori minyak sawitnya yang
tinggi akan memberikan persaingan yang sengit kepada industri minyak sawit di
sini.
Ini
berlaku selepas Malaysia mencatatkan eksport lebih tinggi apabila pengeluar
minyak sawit terbesar dunia itu mengehadkan eksport minyak sawitnya berikutan
beberapa langkah yang dilaksanakan seperti larangan eksport selama tiga minggu
yang dikenakan mulai 28 April dan obligasi pasaran domestik (DMO) untuk
memastikan ketersediaan bekalan domestik.
Dalam
tempoh enam bulan pertama 2022, MSM diniagakan 55.9 peratus,atau RM2,268.50,
lebih tinggi pada RM6,330.00 satu tan secara purata berbanding RM4,061.50 satu
tan pada Januari-Jun 2021. Pada Mei 2022, purata harga MSM mencecah rekod
tertinggi RM6,873.00 satu tan.
"Harga
MSM yang lebih tinggi dalam tempoh itu dipengaruhi oleh peningkatan harga
minyak kacang soya global, harga minyak mentah Brent yang mengukuh di pasaran
dunia, stok minyak sawit kekal di bawah paras dua juta tan, pengeluaran MSM
yang lebih rendah dan permintaan eksport minyak sawit yang tinggi, ” kata Ketua
Pengarah Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir kepada Bernama.
Sumber:
Sinarharian