KUALA LUMPUR – Pengeluar-pengeluar minyak masak botol
boleh menurunkan sedikit harga komoditi itu dengan mencampurkan stok harga lama
dan stok baharu yang sudah diproses.
Langkah itu boleh dibuat dalam usaha bersama-sama
membantu meringankan beban rakyat Malaysia yang terpaksa membeli minyak masak
pada harga yang mahal sekarang ini.
Menurut sumber, pendekatan ini boleh dibuat kerana ia
tidak menjejaskan kualiti minyak yang dihasilkan.
“Namun, sebelum ia dilakukan, pengilang-pengilang perlu
melakukan audit terperinci kerana ia membabitkan kos – ada untung rugi,”
katanya sumber kepada MalaysiaGazette.
Beliau memberi penjelasan itu susulan cadangan Datuk
Seri Najib Razak yang menyarankan FGV Berhad menurunkan harga minyak jenama
Saji keluarannya supaya pengeluar-pengeluar lain turut berbuat demikian.
MalaysiaGazette difahamkan, pada masa ini
pengeluar-pengeluar masih tidak dapat menurunkan harga minyak masak serentak
walaupun harga komoditi itu telah jatuh kerana stok minyak sawit yang dibeli
ketika harganya melonjak masih banyak.
Lantaran itu, adalah sangat sukar untuk pengeluar
menurunkan harga minyak masak dengan cepat walaupun didesak oleh para pengguna.
Sumber itu mengakui pengguna tidak salah apabila
mempersoalkan mengapa harga minyak masak di negara ini mahal kerana Malaysia
adalah pengeluar kedua terbesar komoditi itu di dunia, selepas Indonesia.
Malaysia menghasilkan 20 juta tan minyak sawit mentah
setahun.
Tetapi, pada masa sama, pengeluar minyak masak bertapis
juga berdepan dengan kejutan apabila harga minyak masak mentah yang berharga
sekitar RM2,000 hingga RM2,500 setiap tan melonjak kepada RM5,000 hingga
RM8,000 bagi setiap tan.
Lagipun, kenaikan dan penurunan harga tidak boleh
dilakukan dengan pantas kerana ia melibatkan pelbagai rantaian.
“Ia bukan sahaja melibatkan minyak masak mentah yang
dibeli pada harga mahal tetapi kos penapisan, kos botol, proses pembotolan, kos
logistik, komisien kepada rantaian pengedar, pemborong dan juga pasar raya.
“Kalau semua proses urus niaga ini masih melibatkan
harga lama (ketika minyak sawit mentah naik) maka perkara itu perlu
diselaraskan semula untuk menurunkan harga minyak masak,” kata sumber itu lagi.
Sumber yang arif dalam industri ini yakin pengeluar
minyak masak juga bersedia untuk membantu pengguna dan kerajaan dalam memberi
yang terbaik untuk rakyat bagi menangani kos sara hidup yang tinggi dan kesan
inflasi secara berperingkat-peringkat.
MalaysiaGazette dimaklumkan stok minyak masak botol
yang bahan mentahnya dibeli ketika harga komoditi itu tinggi masih banyak
disimpan di kilang dan digudang.
Sumber itu mengakui, langkah menurunkan sedikit harga
minyak masak itu lebih munasabah berbanding menunggu pengeluar menghabiskan
stok lama minyak yang dibeli pada harga mahal.
“Sudah pasti pengeluar akan turun harga kerana trend
komoditi itu menurun cuma buat masa ini stok lama masih banyak.
“Kecuali pengeluar-pengeluar mencampurkan stok lama dan
stok baharu,” jelas beliau lagi.
Ditanya tidakkah cadangan Najib supaya FGV menurunkan
harga minyak Saji boleh memberi kesan kepada pendapatan syarikat itu, sumber
berkata, syarikat itu boleh melakukannya.
Ia mengambil kira FGV mempunyai nilai rantaian lengkap
dalam sektor perladangan sawit.
“FGV mempunyai ladang sendiri, hasil (buah sawit)
digunakan sendiri, kilang sawit sendiri dan kilang penapisan sendiri.
“Jadi pada saya, cadangan Najib boleh dipertimbangkan.
Syarikat FGV dan lain-lain pengeluar minyak masak boleh melakukannya secara
berperingkat.
“Tetapi harga tidak boleh turun banyak, mungkin lebih
murah sedikit,” jelas sumber lagi.
Harga minyak masak botol naik 40 peratus awal bulan ini
selepas kerajaan memansuhkan harga siling.
Kenaikan itu melibatkan minyak masak botol 1kg, 2kg,
3kg dan 5kg.
Pemansuhan itu menjadikan harga minyak masak 5kg dijual
melepasi RM42 sebotol, menyebabkan pengguna tempatan merungut.
Baru-baru ini, Najib menyarankan syarikat FGV yang
mengeluarkan minyak masak jenama Saji menurunkan harga minyak masak berbotol.
Jika Saji turunkan harga, yang lain akan terpaksa ikut,
kata bekas Perdana Menteri itu.
Katanya, harga minyak sawit sudah turun sejak awal
bulan Jun ke paras awal tahun 2021 selepas Indonesia menghabiskan stok bekalan
yang melimpah.
Berikutan itu, harga minyak sawit jatuh separuh sejak
awal bulan Jun.
Namun, harga minyak masak berbotol di Malaysia belum
turun.
Sumber: MalaysiaGazette