KUALA
LUMPUR: Harga semua kereta baharu kembali kepada asal selepas pengecualian
Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berakhir hari ini, dengan jangkaan kenaikan
sehingga 10 peratus bagi model pemasangan tempatan (CKD) dan sekitar lima
peratus bagi model import sepenuhnya (CBU).
Timbalan
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd (PROTON), Roslan Abdullah, berkata
pengeluar kereta nasional itu akan mengumumkan harga baharu untuk semua model.
Beliau
berkata, susulan berakhirnya tempoh pengecualian SST itu juga, PROTON
menjangkakan jumlah tempahan akan berkurangan mendadak pada bulan ini dan
seterusnya.
"Setakat
semalam (kelmarin), kami menyaksikan peningkatan sehingga 120 peratus tempahan
di semua bilik pameran sejak pengumuman terbaru mengenai SST dibuat pada 20 Jun
lalu oleh Kementerian Kewangan.
"Ia
meningkat kepada sehingga purata 1,900 tempahan sehari dalam tempoh berkenaan
berbanding 800 hingga 900 tempahan sebelum itu.
"Ini
menunjukkan ramai orang berpusu-pusu mahu membeli kereta baharu sebelum tamat
pengecualian cukai hari ini (semalam)," katanya kepada BH.
Sementara
itu, satu lagi pengeluar kereta yang dihubungi turut mengesahkan akan berlaku
perubahan harga pada semua kereta yang dijual dengan pengumuman berhubungnya
akan dibuat pada masa terdekat.
Menteri
Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 20 Jun lalu
mengumumkan tarikh akhir pengecualian cukai jualan kenderaan penumpang kekal
pada 30 Jun 2022, namun tempoh pendaftaran kenderaan bagi menikmati insentif
pengecualian cukai itu dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023.
Tengku
Zafrul berkata, lanjutan tempoh pendaftaran kenderaan itu adalah satu
penyelesaian titik tengah bagi mengimbangi kepentingan pengguna dan hasil cukai
negara yang perlu ditingkatkan semula pascapandemik untuk memastikan kebajikan
rakyat serta kesejahteraan ekonomi negara terus terpelihara.
"Berikutan
permasalahan ini, sebanyak 264,000 unit kenderaan yang ditempah dalam tempoh
pengecualian ini belum siap pemasangan dan tidak dapat dibekalkan kepada
pembeli.
"Sehubungan
itu, bagi membolehkan pembeli yang membuat tempahan kenderaan sehingga 30 Jun
2022 terus menikmati insentif pengecualian cukai jualan ini, sukacita
dimaklumkan tempoh pendaftaran kenderaan itu di Jabatan Pengangkutan Jalan
(JPJ) kini dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023," katanya Tengku Zafrul.
Presiden
Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad sebelum ini berkata,
keputusan kerajaan melanjutkan tempoh pendaftaran bagi menikmati insentif
pengecualian cukai sehingga 31 Mac 2023 dapat memberi peluang kepada pembeli
memiliki kenderaan pada harga jualan lebih rendah tanpa SST.
Katanya,
persatuan itu menjangkakan tempoh kurang 10 hari sebelum berakhirnya insentif
pengecualian SST pada akhir bulan bagi kereta penumpang menjadi hari paling
sibuk di bilik pameran susulan ramai yang mahu memanfaatkan peluang membuat
tempahan kenderaan.
"Kami
menyambut baik keprihatinan kerajaan yang menilai semua permasalahan dihadapi
pembeli dan pengeluar akibat isu kekurangan cip komputer yang menjejaskan
pengeluaran serta bekalan," katanya kepada BH.
Dalam
pada itu, Presiden Persekutuan Persatuan Syarikat Kereta dan Kredit Malaysia
(FMCCAM), Datuk Tony Khor Chong Boon, sekali lagi meminta kerajaan
mempertimbangkan pelanjutan pengecualian cukai itu sehingga 31 Mac 2023.
Katanya,
lanjutan penuh itu penting kerana banyak tempahan semasa yang tertunggak
susulan isu gangguan rantaian bekalan global, di mana keadaan sedemikian
dijangka berterusan sehingga akhir tahun ini.
"Anggaran
semasa kami menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya 80,000 tempahan jualan akan
terjejas jika lanjutan tidak diberikan.
"Ini
memberi kesan kepada keseluruhan industri secara keseluruhan kerana kenaikan
harga akan mengakibatkan pembatalan jualan untuk kereta baru yang menyebabkan
kesan rantai pada kereta terpakai.
"Statistik
kami menunjukkan bahawa 67 peratus daripada jualan kereta baharu menghasilkan
pertukaran kenderaan lama," katanya.
Sumber:
bharian