SELEPAS jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia
tersingkir di pusingan kedua, kini hanya empat beregu negara masih meneruskan
cabaran di peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2022 di
Axiata Arena Bukit Jalil, esok.
Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik
melepasi halangan pusingan kedua dalam misi memburu gelaran sulung di laman
sendiri selepas menumpaskan pasangan Singapura,Hee Yong Kai Terry-Loh Kean Hean
21-16, 21-13.
Beregu pilihan kelima itu akan menentang beregu pilihan
ketiga, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia, pada suku akhir esok.
Beregu kedua lelaki negara, Goh-Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani
akan berdepan dengan cabaran getir apabila bertemu juara Terbuka Indonesia, 19
Jun lalu, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dari China.
Gandingan itu melangkah ke suku akhir dengan mudah apabila
memperoleh kemenangan percuma selepas beregu India, Satwiksairaj
Rankireddy-Chirag Shetty menarik diri akibat kecederaan sebelum memulakan
perlawanan.
Beregu profesional lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi,
turut menempah slot suku akhir dengan menyingkirkan juara Sukan Olimpik Tokyo
2020,, Wang Chi Lin-Lee Yang dari Taiwan, 21-17, 21-18.
Pasangan ranking ke-10 dunia itu akan menentang beregu
Indonesia dan pilihan keenam, Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto, bagi merebut
tempat ke separuh akhir.
Dalam acara wanita, beregu Anna Ching Yik Cheong-Teoh Mei
Xing muncul wakil tunggal negara selepas melakukan kejutan dengan mengalahkan
pilihan kedua, Lee So Hee-Shin Seung Chan dari Korea Selatan, 18-21, 21-12,
21-15.
Sumber: sinarharian