KOTA
KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan usul untuk
menaikkan saraan Ketua Menteri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota
pentadbiran negeri yang lain.
Usul
untuk Rang Undang-Undang Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan (Saraan)
(Pindaan) 2022 dicadangkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor itu telah
diluluskan dengan suara terbanyak.
Dengan
kelulusan itu, saraan Ketua Menteri yang sebelum ini RM23,595 sebulan dinaikkan
kepada RM33,033; Timbalan Ketua Menteri RM20,872.50 (RM29,221.50); Menteri
RM16,335 (RM22,869); Speaker DUN RM16,335 (RM22,869); Pembantu Menteri RM12,705
(RM17,787); Timbalan Speaker DUN RM12,705 (RM17,787); ADUN RM7,950 (RM11,130);
dan Setiausaha Politik RM5,445 (RM7,623).
Hajiji
yang juga Menteri Kewangan Kedua Sabah ketika menggulung usul itu berkata,
implikasi kewangan kerajaan negeri untuk pelaksanaan kenaikan saraan itu
dilihat tidak terlalu berat dan hanya melibatkan jumlah RM5.6 juta setahun.
Katanya,
pelarasan itu dilihat wajar dan apa yang penting wakil rakyat perlu terus
memberi yang terbaik kepada rakyat.
"Kita
mengambil inisiatif ini memandangkan keadaan yang berlaku di persekitaran kita
sekarang ini walaupun kita faham mungkin di luar sana rakyat bercakap kenapa
dalam keadaan sekarang dan sebagainya. Tetapi asas utama ialah untuk wakil
rakyat anggota kerajaan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
"Kerajaan
perlu ada dasar yang baik untuk memastikan taraf hidup rakyat yang ada sekarang
ditingkatkan sekali gus membasmi kemiskian ini paling penting," katanya
dalam Persidangan DUN Sabah pada Selasa.
Selain
itu, DUN sabah turut meluluskan usul Rang Undang-Undang Peruntukan Diraja
(Pindaan) 2022 yang menaikkan Saraan Peribadi, Elaun Keraian dan Elaun Wilayah
untuk Yang Dipertua Negeri Sabah.
Usul
yang dibawa Hajiji itu juga diluluskan dengan suara terbanyak, dan menaikkan
Saraan Peribadi daripada RM215,280 setahun kepada RM301,392; Elaun Keraian
RM152,490 (RM213,486); dan Elaun Wilayah RM44,850 (RM62,790).
Sumber:
astroawani