WARIS
Kesultanan Sulu yang dikatakan melakukan tuntutan berjumlah AS$14.92 bilion
(RM62.59 bilion) kepada Malaysia dilaporkan telah merampas aset dua anak
syarikat Petronas di Azerbaijan.
Memetik
laporan Financial Times, peguam pihak yang menuntut telah merampas aset
syarikat petroleum itu yang didaftarkan di Luxembourg, Petronas Azerbaijan
(Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus.
Menurut
laporan itu juga, nilai kedua-dua aset berkenaan mencecah lebih AS$2 bilion
(RM8.87 bilion).
Peguam
yang mewakili waris kesultanan itu dilaporkan berkata, bailif di Luxembourg
merampas syarikat berkenaan bagi pihak pelanggan mereka.
Difahamkan
juga, tindakan itu merupakan sebahagian daripada tindakan undang-undang
dikemukakan waris Sulu pada 2017 untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di
Sabah yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat
British pada 1878.
Setakat
ini, Astro AWANI masih menunggu maklum balas daripada pihak Petronas berhubung
perkara tersebut.
Rampasan
dua aset itu turut dilaporkan Go Tech India yang dalam laporannya menyatakan
kes itu disifatkan oleh pakar sebagai salah satu prosiding timbang tara yang
luar biasa yang pernah berlaku dalam sejarah.
Laman
web berita Sepanyol La Información pada Mac lepas melaporkan penimbang tara
Sepanyol, Gonzalo Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan kepada waris
sultan Sulu itu sekurang-kurangnya RM62.59 bilion.
Menurut
Dr Stampa, Malaysia mempunyai tiga bulan untuk membayar pampasan itu atau
berisiko membayar faedah, melainkan anugerah tersebut dibatalkan.
Begitupun,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan
Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tuntutan Waris Kesultanan Sulu itu adalah
terbatal selepas Mahkamah Madrid pada 29 Jun 2021 membatalkan pelantikan
Penimbang Tara yang menguruskan tuntutan itu.
Mahkamah
sama juga turut memutuskan Partial Award on Jurisdiction yang dikeluarkan
Penimbang Tara tersebut, Gonzalo Stampa bertarikh 25 Mei 2021 adalah terbatal.
Menurutnya,
berdasarkan keputusan tersebut, berkata, semua tindakan dan keputusan yang
dibuat Stampa adalah terbatal.
Sumber:
astroawani