KAMPUNG GAJAH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan
potongan diskaun sehingga 50 peratus bayaran saman trafik terpilih sempena
Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Perak.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Barudin Wariso
berkata, bayaran boleh dibuat di kaunter diskaun saman trafik di Litar Dato'
Sagor, di sini bermula hari ini hingga Ahad ini dari jam 9 pagi hingga 4
petang.
Katanya, pihaknya hanya menawarkan diskaun sebanyak 50
peratus bagi semua saman trafik kecuali saman seperti kemalangan, tidak boleh
kompaun (NC), kesalahan berstatus perbicaraan, kesalahan berkaitan kenderaan
berat dan saman berstatus waran tangkap.
"Pengecualian diskaun turut membabitkan saman berkaitan
ubahsuai ekzos, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi lampu isyarat
merah dan memotong secara berbahaya atau potong barisan selain menggunakan
lorong kecemasan serta saman yang dikeluarkan ketika Op Selamat," katanya
dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun katanya, pihaknya mengesan satu gambar di media
sosial yang diubah suai dengan maklumat palsu dan mengelirukan, semalam yang
disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.
"Penjelasan ini bagi memastikan masyarakat tidak
terkeliru dengan iklan palsu itu," katanya.
Gambar iklan palsu berkenaan tidak meletakkan lokasi kaunter
bayaran dan diskaun kompaun membabitkan semua saman yang dikecualikan.
Sumber: bharian